Isnin, 18 Oktober 2021

Ismail Sabri hargai peranan PDRM putuskan rantaian COVID-19

BH ONLINE
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap sempena Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera, Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap sempena Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera, Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas peranannya dalam menguatkuasakan undang-undang dan memastikan rantaian COVID-19 di negara ini dapat diputuskan.

Menerusi catatan di Facebook rasmi malam ini, beliau berkata pada ketika seluruh dunia dan negara bergelut memerangi pandemik itu, peranan dan tanggungjawab anggota polis menjadi semakin getir.

"Setinggi-tinggi penghargaan buat pasukan polis kerana bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang bahkan memastikan usaha memutuskan rantaian COVID-19 melalui sekatan jalan raya dan pasukan petugas untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Turut bersama (ialah) ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dalam mengawal sempadan negara dari diterobos oleh pendatang tanpa izin yang membawa pandemik bersama mereka dalam Ops Benteng," katanya.

Ismail Sabri juga berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani kerana menaikkan gred Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera daripada C kepada B.

"Melalui kenaikan ini, anggota polis di IPD Bera ditambah daripada 300 anggota kepada 400 hingga 600 orang. Teruskan perkhidmatan cemerlang demi keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Bera yang kita sayangi," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Mansor Samsudin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran atas kenaikan pangkat masing-masing. – BERNAMA

Tiada ulasan: