KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 premis di sekitar bandar raya ini ditutup dalam Tindakan Op Patuh Terhadap Premis Perniagaan Komersial dalam tempoh 1 hingga 15 Oktober lalu, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL memaklumkan penutupan itu dibuat selepas pemeriksaan dilakukan di 419 premis dan syarikat membabitkan aktiviti pusat hiburan, perniagaan restoran, kedai pakaian atau jahitan baju, kedai runcit, gunting rambut, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang beroperasi semasa dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Tindakan adalah untuk memastikan pematuhan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lain-lain kesalahan di bawah akta dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL.
"Tiga notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta 342 dengan pelbagai kesalahan terhadap individu/pemilik premis/syarikat yang ingkar pematuhan SOP (prosedur operasi standard) PPN yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," menurut DBKL dalam laman Facebook hari ini.
Selain itu, DBKL turut membuat penutupan terhadap sebuah premis hiburan mengikut Seksyen 17, Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan 40 premis lain mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran.
Turut dilaksanakan tindakan menahan sementara 27 warga Bangladesh, 12 warga Pakistan, enam warga India dan 14 warga Indonesia (pengendali dan pekerja premis) bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan agensi sahabat.
"Op Patuh DBKL ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan. Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL secara dalam talian seperti pautan yang telah disediakan https://adukl.dbkl.gov.my," menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan