KUANTAN: Sekumpulan lapan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Rompin berjaya membangunkan inovasi sistem pengesanan pelanggan (CTS), digunakan untuk mengesan kediaman penerima bantuan agensi berkenaan.
Sistem yang mula dibangunkan Mac tahun lalu itu, memudahkan agihan bantuan disampaikan terus kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdaftar.
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata dengan menggunakan CTS, masa yang diambil untuk sampai ke rumah penerima bantuan lebih cepat, mudah dan tepat.
Selain itu, menurutnya penggunaan sistem itu juga dapat menjimatkan kos minyak kenderaan kerana tidak perlu lagi mencari rumah penerima bantuan terutama yang tinggal di kawasan pedalaman, Felda dan kampung Orang Asli.
Katanya, CTS menggunakan sistem Google Maps bagi menyimpan data dan maklumat lokasi tempat tinggal penerima bantuan yang disimpan dalam telefon pintar. Proses memasukkan data dan maklumat perlu dilakukan terlebih dahulu.
"Sistem ini dibangunkan oleh kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Rompin, justeru
daerah berkenaan terlebih dahulu menggunakanya membabitkan 2,052 pelanggan atau penerima bantuan yang berdaftar. Antaranya warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.
"Kini 98 peratus penerima bantuan JKM di Rompin telah didaftarkan dalam CTS, masalah mengesan kediaman mereka kini tidak berlaku lagi," katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, sebelum ini masa diambil untuk mengesan seorang penerima bantuan antara 30 hingga 40 minit namun kini dapat dijimatkan kepada 10 hingga 15 minit.
Zulkhairi berkata, CTS yang telah menerima Anugerah Emas Inovasi JKM Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Khas Ketua Pengarah JKM akan diperkemaskan lagi secara berperingkat.
"Kita akan meluaskan penggunaan CTS ke seluruh Pahang secara berperingkat yang membabitkan lebih 28,000 penerima bantuan yang berdaftar dengan JKM.
"Sistem ini juga akan dikongsikan dengan beberapa agensi penyedia bantuan yang berminat seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Agihan bantuan bakul makanan yang disediakan kerajaan kepada penerima bantuan JKM di Rompin baru-baru ini, 100 peratus menggunakan CTS," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan