Rabu, 20 Oktober 2021

Banci penduduk, perumahan selesai akhir bulan ini

PUTRAJAYA: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dijangka dapat diselesaikan akhir bulan ini selepas tertangguh beberapa kali akibat COVID-19, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdepan beberapa cabaran dalam menyiapkan bancian penduduk yang sepatutnya selesai pada 24 Oktober tahun lalu.

"Sehingga 14 Oktober 2021, 90 peratus penduduk sudah diliputi dalam bancian. DOSM tetap komited untuk menyelesaikannya pada akhir bulan ini, Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Ke-8 (MyStats) secara maya hari ini.

Yang turut serta, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Mustapa menegaskan, semua penerbitan statistik oleh DOSM tidak terjejas di tengah-tengah cabaran COVID-19 yang mencetuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan.

Beliau berkata, sejumlah 519 penerbitan pada 2020 dan 269 penerbitan setakat 30 September tahun ini dikeluarkan tepat pada masanya.

"Statistik adalah sangat relevan kerana kita perlu lebih banyak data yang diperlukan sebagai mekanisme membuat keputusan. Marilah kita menghargai ahli statistik di negara kita serta di seluruh dunia atas sumbangan mereka kepada kemajuan dunia," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, sambutan Hari Statistik Negara pada tahun ini masih mengekalkan tema 'Connecting The World With Data We Can Trust'.

"Tema ini selaras dengan kepentingan data berkualiti dan boleh dipercayai dalam situasi dunia yang saling berhubung kini dan menjadi pemangkin untuk menghadapi kompleksiti isu semasa yang memerlukan penyelesaian tepat dan data yang jitu," katanya.

Bagi MyStats pula, beliau berkata acara yang diadakan secara serentak dengan Sambutan Hari Statistik Sedunia pada 20 Oktober 2021 memberi makna yang sangat unik berikutan diadakan secara maya.

"Sejajar dengan usaha pemulihan global, tema pada tahun ini ialah, 'Navigating Resilient Recovery Through Statistics'. Tema ini bertepatan dengan situasi dunia yang sedang dalam fasa pemulihan dengan menggunakan penyelesaian statistik sebagai platform utama.

"Persidangan MyStats dianjurkan untuk membincangkan analisis dan penemuan baharu serta bertukar pandangan dan idea antara perangkawan, penyelidik, pakar statistik dan pengguna data berkenaan dengan cabaran dalam penyusunan, penggunaan dan penyebaran statistik terkini," katanya.

MyStats 2021 menghimpunkan pengamal statistik daripada pelbagai sektor dan pelaksanaannya secara maya mengikut SOP yang telah ditetapkan memberikan lebih banyak peluang penyertaan kepada peserta dalam mahupun luar negara.

Persidangan MyStats turut memberikan pengiktirafan kepada pengamal statistik muda melalui penganugerahan 'The Best Young Statistician Presenter' untuk mengenalpasti, mengasah dan mendorong keupayaan bakat dari sudut penyelidikan dan penghasilan statistik lebih baik, selari dengan keperluan semasa yang semakin moden dan kompleks.

Tiada ulasan: