Rabu, 20 Oktober 2021

Denda RM10 juta menanti pelaku jenayah alam sekitar

 Oleh Samadi Ahmad 

 Pindaan AKAS 1974 mencadang mewujudkan denda minimum tidak kurang daripada RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar. -Foto hiasan NSTP Pindaan AKAS 1974 mencadang mewujudkan denda minimum tidak kurang daripada RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar. -Foto hiasan NSTP

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) mencadang mewujudkan denda minimum tidak kurang daripada RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan AKAS 1974 dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya, rakyat mendesak agar hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar terutama membabitkan kes pencemaran sungai.Katanya, kementerian sudah mengkaji dan mencadangkan pindaan AKAS 1974 untuk dipertimbangkan di Parlimen.

"Insya-Allah, pindaan ini akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar," katanya dalam catatan di Facebooknya.

Pada April lalu, media melaporkan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan meminda AKAS 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak industri yang gagal melaksanakan pengurusan bahan buangan mengikut peraturan ditetapkan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pindaan akta itu disifatkan penting bagi memberi pengajaran buat pihak pengurusan yang gagal melabur atau mengambil langkah untuk melaksanakan pengurusan persekitaran betul serta sistem pembuangan sampah yang dapat mengurangkan risiko terhadap alam sekitar.

Tuan Ibrahim berkata, intipati cadangan pindaan fasa 1 ini membabitkan cadangan menaikkan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan.

Katanya, cadangan juga mengenakan hukuman mandatori penjara tidak lebih lima tahun terutama membabitkan kesalahan pencemaran air dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Ketika ini, pihak disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 34B akta berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: