Selasa, 19 Oktober 2021

Idris gesa syarikat pengeluar arak Timah tukar jenama

SENATOR IDRIS AHMAD.

SYARIKAT pengeluar arak tempatan jenama Timah digesa menukar nama pada produk keluaran mereka walaupun mendakwa ia merujuk kepada bijih timah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad semasa membuat gesaan itu berkata, pemilihan nama tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan tidak seharusnya berlaku selain mendatangkan provokasi.

Paparan lelaki berjanggut berkopiah pada label pada botol 
arak itu dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga 
seorang Kapten Polis di Larut, Perak, pada 1870-an.

Beliau yang tidak bersetuju dengan penggunaan nama itu menegaskan, beliau bimbang pemilihan nama itu adalah cubaan untuk mewujudkan normalisasi.

“Setuju (tukar nama), sepatutnya benda bersifat provokasi ini jangan wujud.

“Nama yang boleh menimbulkan kekeliruan, arak tetap haram atas nama apa pun,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, umat Islam diharamkan untuk minum minuman keras walaupun dilabel dengan nama apa sekali pun.

Beliau menjelaskan, dalam hadis Nabi Muhammad SAW turut menyebut akan berlaku manusia akan minum arak dengan pelbagai nama termasuk Timah.

“Prinsip kita, kita tidak bersetuju dalam soal arak, bagi bukan Islam itu soal dia (nak minum), bagi orang Islam kita tidak boleh.Kita tidak boleh letak nama begitu,” katanya.

Pada soalan adakah pihaknya akan memanggil pengeluar arak itu, Idris berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita akan bawa bincang dengan KPDNHEP,” katanya.

Kontroversi arak Timah tercetus susulan jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ namun dinafikan syarikat pengeluarnya yang mendakwa nama berkenaan merujuk bijih timah.

Paparan lelaki berjanggut berkopiah pada label pada botol arak itu dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga seorang Kapten Polis di Larut, Perak, pada 1870-an.

Semalam, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor turut menggesa kerajaan supaya mengarahkan sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan untuk segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan.

Tiada ulasan: