Selasa, 19 Oktober 2021

Jadikan selawat amalan harian, moga terus diberi kekuatan memerangi COVID-19


TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia menjadikan selawat kepada baginda Rasullah SAW sebagai sebahagian daripada amalan harian.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu, mudah-mudahan akan terlindung daripada keburukan di dunia termasuk wabak COVID-19 dan diberi syafaat oleh Rasulullah di akhirat kelak.

“Dan semoga kita terus diberi kekuatan untuk berjuang memerangi COVID-19.

“Mudah-mudahan segala amal ibadah kita diterima Allah SWT. Amin,” kata Muhyiddin menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin turut mengalunkan bacaan selawat dalam video selama lebih 6 minit itu,

Bekas Perdana Menteri itu pada masa sama mengajak seluruh rakyat meneladani amalan baginda Rasulullah SAW.

“Dan menginsafi perjuangan dan pengorbanan baginda Rasulullah SAW dalam mengeggakan syiar Islam.

“Sesungguhnya Islam itu addin yang syumul,” jelasnya.

Dalam satu lagi hantaran berkaitan, Muhyiddin berkata, semoga cinta dan kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW akan terus berkembang mekar dan subur dalam diri kita.

“Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad SAW, kami menadah tangan memohon agar wabak COVID-19 dilenyapkan daripada membelenggu Malaysia dan juga seluruh dunia,” ujarnya.

Tiada ulasan: