Isnin, 25 Oktober 2021

Felda Lembah Klau tamat PKPD

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Sebuah skim tanah rancangan persekutuan di Pahang bakal ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada esok seperti yang dijadualkan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad, lokaliti itu melibatkan kawasan Felda Klau dalam Mukim Gali di Daerah Raub.

Penempatan peneroka yang dibuka sejak 1963 itu pernah dikenakan PKPD julung kali dari 14 Julai hingga 27 Julai sebelum dilaksanakan sekali lagi dari 12 Oktober lalu selama 14 hari.

Kali pertama PKPD diwartakan, ia disebabkan susulan Kluster Sungai Jelai dari Daerah Lipis, namun kali kedua tiada sebarang kluster pula dengan lebih 30 kes Covid-19 direkodkan.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mencatatkan kes positif baharu wabak tersebut yang terakhir di skim Felda ini ialah pada 20 Oktober lalu iaitu melibatkan hanya empat individu dijangkiti.

Rodzi menerusi kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa buat hari ketiga berturut-turut, tiada lokaliti baharu di negara ini yang bakal dilaksanakan PKPD untuk tempoh selama 14 hari.

Malahan, beliau memaklumkan tiada juga lokaliti yang dilanjutkan PKPD mulai esok selain tidak ada mana-mana lokaliti yang menyaksikan penamatan sekatan secara bersasar tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: