Isnin, 25 Oktober 2021

Larangan berhimpun semasa PRN legakan rakyat, tapi tidak parti politik


Parti politik bakal berdepan dengan kekangan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pengumuman larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial.

Bagaimanapun, langkah diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dialukan-alukan orang ramai di Melaka kerana ia dapat mengekang daripada tercetusnya penularan Covid-19 yang baharu sama seperti episod selepas PRN Sabah.

Pekerja swasta Saadiah Ismail, 36, dari Klebang berkata prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat itu penting, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat akan terus terjamin.

“Kita dapat melihat melalui media massa, di video dan gambar bagaimana sesaknya di sesuatu tempat apabila pemimpin politik turun padang…jentera parti yang terlibat juga bukan kumpulan yang kecil dan mereka datang dari dalam dan luar Melaka.

“Saya percaya pematuhan SOP sepenuhnya tidak akan dapat dilakukan dengan sebaiknya, memandangkan masing-masing ghairah untuk berkempen dan menarik pengundi. Langkah mengenakan larangan ini amat tepat dan wajar,” katanya lapor Bernama.

Sependapat dengan Saadiah, pengusaha restoran Muhammad Ismail Rahmad, 44, turut bersetuju dengan langkah KKM dan mahu bukan sahaja pemimpin bahkan rakyat juga perlu terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 ke Melaka.

“Rakyat telah banyak terkorban dan sengsara kerana Covid-19 dan jika penularan berlaku kerana PRN Melaka, ia akan bagi kesan yang lagi teruk kepada rakyat,” katanya.

Bagi suri rumah Afidah Musa, 36, dari Cheng apa yang terjadi selepas PRN Sabah seharusnya diambil iktibar agar ia tidak berulang lagi, yang akhirnya menyebabkan rakyat kembali melalui episod sama iaitu dikenakan sekatan pergerakan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin berkata PRN Melaka merupakan risiko besar kepada penularan jangkitan Covid-19, dan ia memerlukan SOP khas dilaksanakan.

“Sekarang ini kita bukan lihat dari aspek ekonomi sahaja tetapi juga nyawa rakyat. Bagi pemain industri pelancongan, kita baru sahaja hendak menarik nafas lega apabila sempadan negeri dibuka kepada pelancong luar. Kalau kes kembali meningkat, kita khuatir sektor pelancongan terpaksa ditutup semula menyebabkan kita kembali menanggung kerugian,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini ketika mengumumkan larangan tersebut berkata ia selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) SOP Fasa Empat yang terkini.

Katanya sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Isnin lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan pengumuman KKM, parti-parti politik perlu akur dengan pengumuman itu yang turut menyenaraikan penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya sebagai larangan, bahkan masyarakat juga menuntut komitmen pemimpin untuk mematuhi larangan berkenaan.

Namun, DAP antara terawal yang membantah langkah terbaharu diumumkan KKM tersebut memandangkan ia bakal menjejaskan peluang mereka untuk memenangi PRN Melaka.

Tiada ulasan: