Isnin, 25 Oktober 2021

Khairy Jamaluddin ke Jepun bincang isu kesihatan

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
KHAIRY JAMALUDDIN (kanan) dan Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berlepas ke Jepun hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-72 (WPRCM) di Himeji bermula esok hingga 29 Oktober.

Menurut kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan, delegasi tersebut turut disertai oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta pegawai kanan kementerian.

“WPRCM Ke-72 akan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-74 berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun secara atas talian selain cadangan agenda bagi WHA Ke-75 yang akan diadakan pada Mei tahun hadapan.

“Antara perkara berbangkit bakal dibincangkan semasa WPRCM Ke-72 termasuklah penjagaan kesihatan primer, Covid-19, kesihatan sekolah, laporan kemajuan program-program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan,” katanya di sini hari ini.

Dalam rangka mesyuarat lima hari itu, Khairy Jamaluddin dijangka mengadakan beberapa siri mesyuarat dua hala dengan negara-negara berkepentingan bagi membincangkan isu strategik dua hala dan beliau juga dijemput sebagai speaker untuk sesi khas bertemakan Communication for Health pada 28 Oktober.

Khairy Jamaluddin turut dijadualkan untuk membuat kenyataan celahan ke atas laporan oleh Pengarah Rantau Pasifik Barat dan seterusnya memuktamadkan agenda perbincangan berhubung keselamatan kesihatan dan rintangan antimikrob, penyakit tidak berjangkit dan penuaan, perubahan iklim, alam sekitar dan kesihatan serta cadangan visi baharu bertajuk For the Future. 

Kenyataan itu menyebut, kehadiran Malaysia di WPRCM Ke-72 merupakan manifestasi komitmen penuh negara yang sentiasa menyokong pelaksanaan tindakan bersepadu negara-negara anggota dalam usaha pencegahan, pengawalan dan perawatan penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit dan penyakit baharu muncul.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tersebut amat penting bagi memastikan kepentingan dasar-dasar negara diberi pertimbangan oleh WHO dalam
membuat sebarang keputusan yang lebih baik.

“Malaysia juga akan memperoleh peluang untuk menyatakan pendirian dalam membangunkan sektor kesihatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

WHO Rantau Pasifik Barat terdiri daripada gabungan 37 negara maju dan sedang membangun seperti Australia, Republik Korea, New Zealand, Singapura, Jepun, Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat China, Kepulauan Cook, Fiji, Kiribati, Lao People’s Democratic Republic, Malaysia, Marshall Islands, Mongolia, Filipina, Nauru dan lain-lain.

Sekretariat utama bagi rantau ini adalah Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat atau WPRO (Western Pacific Regional Office) bertempat di Manila, Filipina.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: