Rabu, 20 Oktober 2021

Jabatan Pertanian jamin benih padi cukup

Oleh Samadi Ahmad

 Gambar hiasan - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR Gambar hiasan - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini, berdasarkan data hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan.

Katanya, jumlah berkenaan mencukupi untuk keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis hingga akhir November depan.

"Pada musim ini, jumlah benih yang disahkan dijangka melebihi 36,000 tan metrik, dan ia melebihi keperluan," katanya.

Jabatan Pertanian berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan benih padi yang disahkan, menepati kualiti standard ditetapkan bagi menjamin pesawah mendapat bekalan benih bermutu.

Katanya, pesawah dinasihatkan tidak bimbang mengenai bekalan benih walaupun terdapat permintaan agak tinggi terhadap varieti MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim 2/2021.

Menurutnya, ini kerana terdapat 12 lagi varieti setanding MR 297 yang diluluskan jabatan itu meliputi MR 219, MR 220 CL2, MR 263, MR 269, MRQ 76, MR 303, MR 307, UKMRC-2, UKMRC-8, UPutra 1, UPutra 2 dan NMR152.

"Jabatan Pertanian berharap pesawah dapat membuka ruang dan bersedia untuk menanam varieti lain selain daripada MR 297 yang mampu memberi hasil tinggi.

"Pesawah juga dinasihatkan supaya tidak membeli benih yang tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Pertanian atau dikenali sebagai 'beg putih'.

"Penggunaan benih jenis ini dikhuatiri boleh menyebabkan masalah padi angin, penyakit serta perosak yang boleh menjejaskan kualiti dan industri padi negara," katanya.

Semalam, media melaporkan Badan Bertindak Petani MADA mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, mendakwa pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Tiada ulasan: