Khamis, 7 Oktober 2021

Budak lemas ditarik ombak

Muhammad Nurmubien Muhammad Miqdam ditemui pada jam 6.40 petang masih bernyawa kira-kira 10 meter dari pesisir pantai.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata bapa mangsa, Muhammad Miqdam Bahtiar, 36, yang sedang berehat di bawah pokok terlihat dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun yang bermain di tepi pantai, ditarik ombak kira-kira jam 4.15 petang.

"Bapa mangsa bergegas ke pantai untuk menyelamatkan dua anaknya itu tanpa menyedari seorang lagi anaknya iaitu mangsa mengekori di belakang dan turut ditarik ombak.

"Ketika kejadian, keadaan angin agak kuat dan ombak yang kuat menyebabkan mangsa dibawa arus.

"Kanak-kanak itu ditemui jam 6.30 petang kira-kira 100 meter dari tempat kejadian mangsa dibawa ombak," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada jam 5.07 petang tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan penyelamat menemui mangsa pada jam 6.40 petang tadi kira-kira 10 meter dari pesisir pantai," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, anggota pasukan penyelamat memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson.

Sementara itu, Muhammad Miqdam berkata, mereka sekeluarga meraikan ulang tahun anak bongsunya yang berusia tiga tahun.

"Kami sekeluarga tiba di pantai kira-kira jam 3 petang dan selepas makan, anak-anak saya bermain air di pantai.

"Saya ada berpesan supaya hanya mandi di tepi pantai sahaja. Semuanya berlaku terlalu pantas kerana tidak sampai beberapa minit, saya lihat anak saya sudah berada di tengah laut.

"Saya cuba berenang mendapatkan anak saya namun tidak sempat kerana ombak agak kuat.

"Ombak terlalu kuat menolak dan saya juga hampir lemas namun sempat berpaut pada batu di pantai," katanya ketika ditemui di HPD, malam ini.

Beliau berkata , jenazah anaknya itu akan dibawa ke rumahnya di Taman Nusari Bayu 1, Bandar Sri Sendayan, Seremban malam ini.

Seramai 34 pegawai dan anggota bomba bersama Anggota Pertahanan Awam (APM) Port Dickson serta dan Polis Diraja Malaysia terbabit dalam operasi itu.

Tiada ulasan: