Khamis, 7 Oktober 2021

Polis kesan 'anggota tentera' cabul wanita di kedai vape

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai anggota tentera yang terbabit dalam kes cabul seorang wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape terbabit pada mulanya didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata selepas selesai membeli barangan vape, lelaki itu keluar dari kedai, namun tidak lama kemudian, dia masuk semula ke kedai berkenaan.

"Suspek memberitahu mangsa pod vape dibelinya tidak berfungsi. Mangsa kemudian memeriksa pod vape berkenaan dan menggantikannya dengan yang baharu.

"Ketika mangsa menyerahkan pod vape berkenaan, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa cuba mengawal keadaan itu dan memberitahu suspek terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai menyebabkan suspek melepaskan tangan mangsa dan terus beredar dari tempat kejadian.

"Susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang, hari ini.

"Siasatan kini sedang dijalankan dan kita dalam usaha mendapatkan butiran peribadi serta mengesan suspek," katanya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Zaleha Abdullah di talian 03-42897222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, hari ini tampil mendedahkan kejadian itu bersama sekeping gambar dan dua klip rakaman CCTV yang didakwa berkaitan kejadian cabul berlaku di kedai vape terbabit.

Tiada ulasan: