Ahad, 24 Oktober 2021

Buat keputusan muktamad, pintu rundingan masih terbuka, kata Azmin pada UMNO


UMNO perlu buat keputusan muktamad sama ada ingin mengadakan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) atau tidak memandangkan pintu rundingan masih lagi terbuka ketika ini.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama kerana terdapat keputusan yang perlu dibuat terutama melibatkan jentera parti di peringkat akar umbi.

Justeru, Azmin yang merupakan Ahli Parlimen (MP) Gombak itu berharap, UMNO dapat membuat keputusan dan bersama PN demi kepentingan Melayu dan Islam.

“UMNO perlu buat keputusan muktamad mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat yang menjadi hakim menentukan mana parti yang menolak perpaduan dan mana parti yang mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara.

“Kita tidak pernah tutup pintu perbincangan tetapi masa itu penting untuk kita buat keputusan awal sebagai persediaan bagi jentera yang lebih efektif peringkat akar umbi.

“Bagi Bersatu, PAS dan Gerakan, perpaduan itu amat penting untuk menghadapi pelbagai bentik cabaran semasa dan negeri Melaka ini yang amat berpotensi dalam banyak sektor ekonomi khususnya sektor pelancongan dan perindusrian,” kata Azmin dalam laporan MalaysiaGazette.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan pula, Azmin berkata, PN tidak akan menunggu pihak lain yang jelas tidak mahu bersama-sama dengan gabungan tersebut.

Beliau berkata, PN hanya menganjurkan perpaduan dan kebersamaan yang insklusif bagi pelbagai kaum di negara ini.

“Kalau ada pihak yang tidak mahu bersama kita biarkan mereka perang. Kita bertanggungjawab jaga kepentingan Islam dan Melayu tapi pada masa yang sama orang Cina rakyat Malaysia, India mereka jadikan Melaka jadi tanggungjawab kita PN wakili seluruh rakyat dalam PRN Melaka,” katanya lagi.

Tiada ulasan: