Ahad, 24 Oktober 2021

Tangguh ke Singapura, Najib mula berkempen di Melaka kerana rakyat rindukannya


Datuk Seri Najib Razak yang menangguhkan lawatannya ke Singapura mengambil langkah awal dengan memulakan kempennya di Melaka dan yakin rakyat akan memilih UMNO semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Bekas Perdana Menteri itu yang sedang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah berkata kejatuhan kerajaan Melaka yang berpunca daripada tindakan pemimpin UMNO sendiri bukan alasan untuk rakyat tidak lagi merindui pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mereka (rakyat) sudah boleh buat perbandingan tiga era pemerintahan itu. Saya begitu yakin rata-rata rakyat amat rindukan BN,” katanya semasa bertemu Jentera Pergerakan Wanita UMNO di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah hari ini.

Terdahulu, Najib menangguhkan lawatan ke Singapura selepas Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berlepas ke Jerman untuk menjalani rawatan sakit belakang diberi tanggungjawab untuk mengemudi jenteran UMNO di Melaka bagi menghadapi PRN.

Najib sebelum ini memohon pasportnya dikembalikan bagi membolehkannya ke Singapura bagi melawat anak perempuannya yang bakal bersalin tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata berharap rakyat akan memilih semula UMNO untuk berkuasa di negeri tersebut memandangkan parti memang layak untuk menjadi pemerintah semula walaupun faktanya pemimpin UMNO di negeri itu sedang berebut kuasa.

“Walau apa sahaja saja keputusan, kita semua perlu bersedia dalam apa sahaja keadaan. Yang paling penting adalah BN perlu menang dan kembali mentadbir negeri ini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober lalu, memutuskan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini dengan kempen selama 12 hari bermula selepas perisytiharan calon pada 8 November sehingga jam 11.59 malam 19 November.

Tiada ulasan: