Ahad, 24 Oktober 2021

Bertembung di Melaka tapi PN tak tarik sokongan di Pusat


Perikatan Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan kepada Kerajaan Pusat pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun kemungkinan berlaku pertembungan dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata PN masih menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan Ismail Sabri dalam mentadbir negara.

“Tidak terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kami lihat kerajaan pada ketika ini sedang belajar berjalan dengan baik dengan usaha yang dipergiatkan melalui gagasan Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan.

“Semuanya berjalan dengan lancar, insya-Allah kami akan teruskan (kerjasama) dan kami mohon agar Allah mempermudahkan segala urusan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 di Padang Bola Sepak Lintau di Ipoh, hari ini.

Pada 22 Oktober lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu yang menganggotai PN dalam menghadapi PRN Melaka.

Bernama melaporkan Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, secara peribadi, hubungannya dengan kebanyakan pemimpin UMNO terutama yang berada dalam Kabinet juga masih baik dan tidak terganggu dengan sebarang percaturan politik.

“Saya juga lihat ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin antara dua kelompok ini masih boleh bekerjasama, namun saya tidak menolak kemungkinan berlaku satu atau dua individu yang agak keliru dengan agenda yang sepatutnya dibawa,” katanya.

Selain itu, katanya PN masih membuka pintu rundingan kerjasama dengan semua parti termasuk UMNO dalam memastikan kemenangan berjaya direalisasikan dalam PRN Melaka.

“Seperti yang disebut Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami sememangnya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang nak membangunkan negara, melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat namun semuanya terpulang kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: