Bernama
Penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari dengan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor 2021. -Gambar hiasan
SHAH ALAM:
Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang secara rasminya
ditubuhkan dan beroperasi bermula Selasa akan melaksanakan pemantauan 24
jam setiap hari di kawasan-kawasan sensitif dalam menangani masalah
pencemaran sumber air mentah.
LUAS dalam
satu kenyataan di sini pada Rabu memaklumkan skuad berkenaan akan
memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan
Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan
meminimumkan risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).
Tambah
kenyataan itu lagi, penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari
dengan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor 2021.
"Pemantauan
24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air negeri
Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara, skuad ini juga merupakan
urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri
Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan
segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan
Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.
"Fasa
pertama penubuhan skuad ini diterajui seramai 15 kakitangan dan akan
ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan
agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan seperti
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (AIR Selangor), Jabatan Alam Sekitar
(JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa
tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi-agensi lain
yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan
itu memberitahu skuad berkenaan akan menggunakan dua pendekatan dalam
usahanya mencegah pencemaran iaitu, rondaan 24 jam ke kawasan-kawasan
sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang
membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA dan pemantauan statik
(pensampelan in-situ) yang akan dilaksanakan di kawasan strategik
berisiko yang dikenal pasti.
"Pensampelan
berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan
dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan
meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.
"Kerajaan
Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden
pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA
beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat
dielakkan," katanya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment