Putrajaya: Masyarakat diharap tidak tersalah anggap dan menunding jari mengatakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersikap lepas tangan dalam menangani isu daging import.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu penting kerana ia membabitkan umat Islam.
Katanya, beliau ada menerima beberapa tangkap layar laporan media selain terdapat segelintir pihak mempersoalkan kenyataan dikeluarkan pihaknya sebelum ini membabitkan isu berkenaan.
"Ada pihak mendakwa seolah-olah saya lepas tangan dan tidak serius dalam menangani masalah ini.
"Kenyataan itu adalah asas kepada dua pilihan yang dikemukakan sebagai jawapan pertanyaan wartawan ketika sidang media diadakan," katanya menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter hari ini.
Zulkifli berkata, kenyataan beliau semalam bagi menjawab pertanyaan wartawan berhubung pandangan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan untuk mengelak makan daging import.
Katanya, beliau amat menghormati pandangan Zamri kerana itu juga antara pilihan yang tersedia untuk umat Islam.
Pada masa sama, katanya, beliau perlu mengingatkan yang umat Islam di negara ini ada banyak pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang juga pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah, tidak seperti isu daging haram baru-baru ini.
Zulkifli berkata, umat Islam boleh membuat semakan terhadap status pihak terbabit melalui di laman halal.gov.my.
"Justeru, dengan meraikan pandangan sahabat saya Timbalan Mufti Perak, jua suara pembekal daging import dalam kalangan bumiputera Muslim yang tidak terlibat dalam hal ini, itulah pilihan yang saya kemukakan.
"Saya yakin kita semua bersetuju bahawa pembekal daging import dalam kalangan bumiputera Muslim yang tidak bersalah, tidak wajar terpalit sama dalam isu ini," katanya.
Zulkifli juga menyentuh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud 'Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu'.
"Saya amat berharap kenyataan ini tidak disalahanggap sebagai saya bersikap lepas tangan terhadap isu yang penting bagi umat Islam ini," katanya.
No comments:
Post a Comment