KANGAR: Lelaki maut dalam keadaan menyayat hati apabila ditemukan dalam keadaan rentung setelah kediamannya terbakar dalam kejadian melibatkan dua buah rumah berkembar di Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Romizan Ramli,42, yang merupakan bapa kepada lima anak hasil daripada dua perkahwinan tersebut terperangkap di dalam rumahnya ketika api sedang marak.
Adik bongsu mangsa, Mohd Shauki Ramli, 28, berkata, kebakaran tersebut disedari oleh ibunya yang ketika itu bangun untuk solat subuh dan mendapati api di rumah mereka sudah marak dan seterusnya mengejutkan ahli keluarga serta bergegas keluar dari rumah.
Katanya, abang sulungnya yang maut dalam kejadian itu tinggal sendirian di rumah sebelah, manakala dia bersama enam lagi ahli keluarga termasuk tiga orang anak mangsa tinggal dalam rumah yang sama.
“Apabila kami keluar menyelamatkan diri, api telah marak ke rumah sebelah. Kami ada memanggil abang keluar tetapi tidak berjawab kerana mungkin telah lemas dalam asap.
“Api dipercayai berpunca daripada bilik abang saya seorang lagi yang tinggal bersama dengan kami. Abang saya kurang siuman sikit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Saodah Azam, 69, berkata, anaknya yang bekerja sebagai buruh sempat meminta duit daripadanya untuk makan laksa di sebuah gerai malam tadi.
“Mak cik bagi RM2 dan dia (mangsa) sempat pergi makan laksa dalam pukul 9 malam. Itulah kali terakhir mak cik jumpa dengan arwah sebelum kejadian pagi tadi.
“Anak dia ada tiga orang tinggal dengan kami sejak bercerai dulu. Memang anak perempuan mak cik yang jaga anak arwah ini dan kami akan terus menjaga mereka walaupun arwah sudah tidak ada,” katanya sayu.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 5.51 pagi.
Katanya, dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat Arau dan Simpang Empat serta sebuah kenderaan utiliti bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dengan rumah pertama yang terlibat dalam kebakaran tersebut musnah 90 peratus manakala rumah kedua yang didiami mangsa pula musnah 50 peratus,” katanya. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment