Wednesday, December 30, 2020

Pelajar hidap hidrosefalus, buta sebelah mata

 Oleh NOR AINNA HAMZAH


REMBAU: Seorang ibu tidak menyangka anaknya yang selalu menutup mata kiri ketika menonton televisyen merupakan petanda anaknya menghidap penyakit hidrosefalus.

Siti Nor Asiah Abu Hassan, 43, berkata, anak ketiganya itu, Nur Amalin Najwa Kamaruzaman, 14, dikesan mengidap penyakit berkenaan pada Januari tahun lalu selepas terjatuh di dalam tandas dan mengadu tiba-tiba tidak dapat melihat selepas terjatuh.

Menurut ibu tunggal berkenaan, dia mula berasa tidak sedap hati dan membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Rembau sebelum anaknya dirujuk kepada pakar perubatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

“Masa itu doktor pakar memberi tahu anak saya mengidap penyakit hidrosefalus iaitu cecair di dalam kepala menekan fungsi saraf sehingga mampu menyebabkan kedua-dua mata anak saya buta sekiranya lambat diberikan rawatan.

“Saya yang bimbang dengan risiko anak kehilangan sepenuhnya penglihatannya meminta untuk memasukkan anak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan segera walaupun pada masa berkenaan, saya tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi tujuan pembedahan mengeluarkan cecair dari kepala anak saya itu,” katanya.

Dia ketika ditemui pemberita sempena Program Sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasaih N9) di Desa Rimbunan Kaseh Rembau, dekat sini, semalam.

Siti Nor Asiah berkata, bayaran pembedahan berkenaan ditanggung separuh oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan PPUM, dana sumbangan dan pinjaman sebanyak RM700 dan bakinya dilangsaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Mata kiri anak saya kini tidak dapat melihat dan anak kini bergantung sepenuhnya kepada penglihatan mata kanan,” katanya.

Menurut ibu kepada lima anak berusia lima hingga 17 tahun itu, dia kini tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan dan juga daripada pihak Baitulmal sebanyak RM250.

“Sebelum ini saya bekerja di ladang di penempatan ini namun, projek berkenaan tidak diteruskan dan kehilangan sumber pendapatan.

“Saya bimbang untuk tinggalkan anak seorang di rumah dan pergi bekerja kerana doktor menasihatkan untuk memantau keadaan anak yang kini terdapat tumor di saraf tunjungnya pula dan berisiko untuk dibuat pembedahan. Anak sering mengadu sakit dalam perut, mata tak selesa, kepala sakit dan sebab itu saya bimbang untuk tinggalkan di rumah,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, dia kini bimbang rumah yang didudukinya itu sudah memiliki tunggakan bayaran sewa yang agak lama iaitu dari Oktober tahun lepas.

Sehubungan itu, individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank bernombor akaun 106098383266 di atas nama Siti Nor Asiah Abu Hassan.- UTUSAN ONLINE

No comments: