PUTRAJAYA: Polis meningkatkan pemantauan terhadap penunggang basikal yang memilih beriadah di pusat pentadbiran kerajaan itu.
Langkah itu bagi mengelak kemalangan maut seperti yang berlaku ke atas seorang penunggang basikal baru-baru, sekali gus memastikan pematuhan peraturan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata pihaknya akan menggandakan operasi pemantauan ketika pasukan trafik mengadakan rondaan.
Katanya, polis tidak akan mengeluarkan sebarang saman berikutan masih di peringkat memberi kesedaran dan pendidikan.
"Operasi pemantauan susulan kemalangan maut membabitkan seorang penunggang basikal wanita di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya sebelum ini.
"Pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua penunggang basikal mematuhi peraturan lalu lintas," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan, individu yang menjalankan aktiviti berbasikal memilih lokasi dan masa sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan serta bukan waktu puncak.
Mohd Fadzil berkata penunggang juga perlu memastikan peralatan dan basikal digunakan mempunyai ciri keselamatan terutama ketika mengadakan aktiviti pada waktu malam.
Putrajaya menjadi pilihan peminat sukan berbasikal termasuk pada waktu malam.
Pada 19 Disember lalu, seorang penunggang basikal wanita maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10.
Mangsa yang berusia 34 tahun dan dari Subang Jaya, Selangor itu meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Sejak Januari sehingga Oktober tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 137 kes kemalangan membabitkan aktiviti berbasikal di jalan raya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 56 kes membabitkan kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.
Penunggang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.
No comments:
Post a Comment