Masih terlalu awal Jakim buat rombakan besar-besaran
KUALA NERUS – Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.
“Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim, yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.
Dr Zulkifli berkata, ia adalah pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam, sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.
Bagaimanapun, katanya, pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.
Timbalan Menteri (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam, berkata, tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli berkata, masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.
“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan…kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek.
“Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (prosedur operasi standard) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu. -Bernama
No comments:
Post a Comment