Tuesday, December 29, 2020

JAKIM perlu dirombak, isytihar darurat rasuah – MPM

MGF28022020_PENYEMBAHAN-MEMORANDUM-MPM-NGO15
Tun Mohamed Haniff Omar

KUALA LUMPUR – Rombakan besar-besaran perlu dilakukan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung kes berlaku kartel daging import haram yang menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Mohammed Hanif Omar berkata, jabatan itu sepatutnya diterajui oleh individu-individu yang berintergriti dan  isu kartel daging import haram tidak lagi berulang pada masa depan.

“Di samping JAKIM yang dihukum atas ‘dosanya’ membiarkan kegiatan haram menghalalkan kegiatan kartel import daging tidak halal, jabatan itu juga wajib dihukum di atas kelalaian membangunkan industri ternakan.

“Rombakan besar-besar perlu dilakukan dengan melantik mereka yang kompeten, berintergiriti bagi bukan sahaja menerajui tetapi membangunkan dan memajukan industri ternakan negara,” katanya ketika sidang media hari ini.

JAKIM juga wajar melepaskan tanggungjawabnya mengendalikan pensijilan halal, kata bekas Ketua Polis Negara itu.

Sebaliknya tugas itu, kata Mohamed Hanif perlu dikendalikan oleh Majlis Halal Malaysia (MHM) yang dalam masa yang sama menubuhkan di bawahnya pasukan petugas khas (PPK).

PPK di bawah MHM perlu dianggotai oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam, pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Aktifkan semula MHM yang dibekukan fungsinya oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini. MHM harus ambil alih Skim Pensijilan Halal dengan Jakim,” katanya.

Terdahulu Mohamed Hanif menyifatkan pembongkaran kartel daging import haram membuktikan gejala rasuah dalam negara semakin menjadi-jadi.

Selain rombakan JAKIM, beliau juga berpendirian isu berkenaan menjadi petunjuk kegagalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan tanggungjawab membangunkan industri ternakan sehingga negara bergantung dengan daging import.

Sehubungan itu  MPM berpendirian Majlis Raja-Raja Melayu perlu terlibat dalam hal itu bagi memerintahkan Mahkamah Khas untuk mendakwa pesalah rasuah.

Atas nasihat Majlis Raja-Raja Melayu  dan Yang diPertuan Agong wajar mengisytiharkan Darurat Rasuah sebagai ingatan kepada seluruh rakyat dalam negara.

“Pesalah rasuah perlu dihukum berat. Selain penjara dan denda tertakluk kepada betapa beratnya kes disabitkan mereka perlu dihukum berat dan jika kesalahan cukup berat lucut kewarganegaraan dan dinyahkan dari negara,” jelasnya.

Kata Mohamed Hanif, semua  syor dan pandangan MPM akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

No comments: