Wednesday, December 30, 2020

Kartel daging haram: Kenapa hanya Jakim ‘diserang’?

Athirah Huda Zalhe

 

Patutnya Genting perlu ditutup kerana kegiatan judi juga haram

BANGI – Kenapa nampak seakan-akan marah terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedangkan agensi itu yang banyak berusaha untuk meningkatkan syiar Islam di Malaysia?

Justeru, dalam isu kartel daging haram ini, tidak sepatutnya hanya Jakim ‘diserang’. 

Walhal, agensi-agensi lain yang turut terbabit secara langsung dengan penyeludupan daging import haram, tidak pula menerima tekanan sama supaya dirombak mahupun disiasat seperti Jakim, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.  

“Seolah-olah semuanya di bawah Jakim. Persoalannya kenapa begitu marah terhadap kartel daging haram?

“Bagaimana pula dengan pusat judi di Genting? Judi juga haram. Apa kata kalau kita juga mendesak supaya Genting ditutup atas asas yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohammaed Haniff Omar supaya rombakan besar-besaran dilakukan ke atas Jakim bagi memantapkan kredibiliti dan integriti susulan pendedahan kartel daging haram baru-baru ini.

Beliau meminta Skim Pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibekukan serta merta dan jabatan itu perlu melepaskan tugas dan tanggungjawab mengendali pensijilan halal yang selama ini dikelolakan bersendirian.

Selain itu, beliau juga mahu fungsi Majlis Halal Malaysia (MHM) yang dibekukan kerajaan sebelum ini dikembalikan bagi mengelakkan isu sama berulang lagi. 

Isu kartel yang terbabit dalam pengimportan daging sejuk beku dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya kini heboh diperkatakan. 

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa, kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Rampasan 30 tan daging sejuk beku yang dipercayai dibungkus semula dan kemudian menggunakan tanda halal palsu di Johor pada awal bulan ini, didakwa sebahagian bukti kegiatan kartel yang disyaki dibantu beberapa penjawat awam yang menyalahguna kuasa.

No comments: