KUALA SELANGOR: Tangguk-tangguk sampah! Itu 'hasil' yang lebih banyak diperoleh nelayan, Kahar Buntal, 69, sepanjang memerah keringat antara empat hingga enam jam sehari mencari kerang di perairan berhampiran daerah ini.
Masalah itu dipercayai disebabkan pembuangan sampah sarap yang mencemari Sungai Buloh di Jeram, selain disyaki juga akibat pelepasan bahan kimia, berdasarkan keadaan sungai itu yang airnya kehitaman, berbau dan seolah berminyak.
Penduduk setempat memaklumkan, keadaan sungai berkenaan sekarang begitu berbeza berbanding beberapa tahun lalu yang jernih meskipun kawasan berkenaan dipenuhi tanah gambut.
Ketika itu, Kahar atau lebih dikenali sebagai Pak Uda hanya perlu sekali ke laut sekali untuk menangguk kerang, tetapi beberapa tahun kebelakangan, dia terpaksa berbuat demikian dua kali, iaitu pada waktu pagi dan petang untuk mendapatkan hasil.
Sejak sungai tercemar, bukan sahaja keringat Pak Uda berganda, malah kos yang terpaksa ditanggungnya juga bertambah, selalunya tidak berbaloi kerana kerang yang ditangguk hanya bernilai RM5 sekilogram (kg) apabila dijual terus kepada peraih.
Bekas tentera itu berkata, untuk meraih sekilogram kerang, dia terpaksa membuat pusingan bot sehingga 30 atau 50 kali untuk menangguk hasil laut itu kerana selalunya lebih banyak 'menangguk' sampah sarap.
Wartawan BH bersama jurugambar menyertai Pak Uda baru-baru ini dan menyaksikan sendiri kesukaran nelayan itu mendapatkan kerang.
Kami sampai di lokasi pembiakan kerang kira-kira 15 minit selepas bertolak pada jam 11.30 pagi dari Jeti Nelayan Sungai Buloh ketika matahari sudah lama meninggi.
Bahang yang mencengkam bukan sahaja menyebabkan kami tidak selesa, malah 'berpinar-pinar' kerana bot berpusing-pusing untuk mencari kerang.
Bagi Pak Uda, ia keadaan biasa yang terpaksa dilalui saban hari, malah pada hari yang disertai kami, dia terpaksa memerah lebih keringat kerana peraih sudah menempah 100kg kerang.
Kami menyaksikan sendiri bagaimana sukarnya kerja Pak Uda kerana apabila tangguk dinaikkan, hanya beberapa butir kerang diraih, selebihnya dipenuhi sampah sarap yang kebanyakannya sisa berasaskan plastik.
Difahamkan, sampah sarap domestik itu mungkin dibuang ke dalam sungai dan dibawa arus sebelum terbenam di dasar kawasan pembiakan kerang.
Pemendapan sampah memudaratkan habitat kerang dan memaksa nelayan seperti Pak Uda yang bergantung sepenuhnya kepada hasil itu, bekerja lebih keras.
Untuk mendapatkan sekilogram kerang, dia terpaksa melakukan lebih 20 hingga 30 pusingan atau terpaksa kembali semula ke laut buat kali kedua pada waktu petang.
"Kerang seberat 100kg hanya akan cukup jika dikongsi dengan dua anak saya yang turut menjadi nelayan," katanya menambah, perairan bermula dari Sungai Buloh sebelum ini adalah pusat pengeluaran kerang tetapi sejak beberapa tahun lalu mereka sukar mendapat hasil itu kerana sungai tercemar.
"Tanah menjadi hitam dan air sungai ini seolah-olah seperti air longkang, tetapi kami sebagai nelayan yang tiada sumber pendapatan lain terpaksa bergantung dengan rezeki di sini. Sekarang untuk dapat RM15 sehari pun susah. Saya sendiri sudah biasa menaikkan hanya sekilogram kerang sehari," katanya.
Ditanya sama ada dia penat dengan aktiviti yang tidak membawa pulangan berbaloi dengan keringat dan kos, Pak Uda mengakui berputus asa apabila melihat begitu banyak sampah sarap yang dinaikkan berbanding kerang.
"Kira-kira 90 peratus bahan yang dinaikkan adalah sampah. Jika batu atau daun boleh terima, tetapi yang banyak adalah plastik. Itu belum lagi hidupan laut kecil lain yang tidak laku dijual, sudahnya hanya beberapa butir kerang yang dapat sekali sauk," katanya.
Seorang lagi nelayan kerang, Mohd Fadhillah Kahar, 34, mengakui tertekan kerana kekurangan hasil itu juga bermakna dia kekangan wang untuk membeli minyak bot.
"Bila kurang dapat kerang, hasil jualan tidak cukup untuk 'pusingan modal' membeli minyak bot. Beberapa tahun kebelakangan, keadaan kami perit sekiranya bergantung sepenuhnya kepada hasil kerang kerana kadang-kala hanya satu atau dua kilogram saja yang dapat," katanya.
Katanya, keadaan semakin hari bertambah buruk dan menjangkakan kerang di kawasan berkenaan akan pupus pada masa hadapan.
"Saya ke laut sejak kecil bersama ayah dan ketika itu Sungai Buloh begitu jernih, ada ketika boleh nampak dasarnya. Hari ini, sungai ini sangat keruh dan ada kala berwarna hitam, mungkin kesan pencemaran.
"Kerang tidak boleh hidup dalam tanah yang cair di dasar. Apabila habitat tercemar dan penuh sampah sarap, ia akan memburukkan lagi keadaan," katanya yang mengambil masa berjam-jam setiap hari untuk mendapatkan hasil kerang disebabkan sampah yang terlalu banyak.
Pencemaran punca hidupan sungai kurang mendadak
Putrajaya: Jabatan Perikanan mengesahkan pencemaran Sungai Buloh, di Jeram, Selangor, menyebabkan hidupan air seperti kerang di kawasan muara dan sekitar perairan berhampiran, berkurangan secara mendadak sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly, berkata Sungai Buloh adalah antara sungai dalam pemerhatian jabatan itu kerana keadaannya kini memberi kesan buruk kepada habitat, khususnya kerang.
"Di bawah pemerhatian jabatan, sungai yang memberi kesan tidak sihat kepada habitat ikan, khususnya kerang adalah di daerah Kerian, selain daerah Larut Matang dan Selama di Perak serta Sungai Buloh di Selangor.
"Setakat ini, habitat di semua kawasan itu masih terkawal di mana pemantauan secara berkala dilakukan pihak jabatan," katanya kepada BH.
BH difahamkan, data bagi 2019 merekodkan sebanyak 18.16 tan kerang didaratkan di kawasan perairan itu, manakala bagi 2020 pula meningkat kepada 50.76 tan, namun disokong program penternakan diusahakan Jabatan Perikanan yang mewujudkan lot bersistem bagi membantu nelayan sekitar.
Mengulas perkara itu, Ahmad Tarmidzi, berkata pendapatan nelayan kecil yang mengutip benih atau kerang dewasa dari kawasan semula jadi untuk dijual, tidak boleh dibandingkan dengan ternakan kerang di lot yang bersistem dan melalui tempoh ternakan yang lama.
"Bagi pengusaha kerang atau nelayan berdaftar, satu lot kerang yang berkeluasan 50 hektar diperuntukkan kepada satu kumpulan yang biasanya mempunyai 10 ahli.
"Daripada data yang direkodkan, tempoh kerja selama enam jam boleh menghasilkan 20 guni kerang yang bersamaan 600kg dengan anggaran nilai RM12,000," katanya.
Katanya, pendaratan kerang secara semula jadi dan penternakan juga tidak boleh dibuat perbandingan kerana perlu mengambil kira beberapa perkara seperti kos kultur kerang, proses serakan, kecurian, pembersihan, penggredan dan penghantaran.
"Meskipun begitu, pihak jabatan sentiasa proaktif dan komited membantu nelayan kecil melalui projek penternakan kerang-kerangan.
"Sebagai contoh, melalui persatuan seperti myKP Sungai Sembilang yang menternak kupang di Sungai Sembilang. Nelayan di situ mengkultur kupang menggunakan 'Mini Smartline' Selangor di Jeram, yang dilihat berjaya menghasilkan dua tan kerang pada tahun lalu.
"Selain itu, mereka juga meraih 600kg tiram pada tahun ini dengan nilai RM5,400. Jabatan Perikanan memberi khidmat nasihat teknikal dari semasa ke semasa sehingga golongan ini mampu berdikari mengkultur dan mendaratkan hasil yang konsisten," katanya.
No comments:
Post a Comment