Sunday, December 27, 2020

Adun Dengkil disahkan positif Covid-19

Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah, disahkan positif Covid-19 petang semalam dan akan dibawa ke hospital untuk proses rawatan dan kuarantin hari ini.

Perkara itu disahkan Adhif sendiri dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Adhif berkata dia menjalani ujian saringan di hospital pada 25 Dis selepas mendapati pemandunya mengalami simptom demam sejak dua hari lepas.

"Pemandu bersama saya telah membuat ujian swab sebagai langkah berjaga-jaga pada 25 Dis sejurus selesai urusan kerja harian dan semalam (26 Dis) disahkan positif oleh pihak hospital," katanya.

Adhif berkata dia dan pemandunya ketika ini dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital hari ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalani kuarantin dan rawatan.

Menurut Adhif KKM dan pihak berkuasa lain sudah dimaklumkan dan semua kontak rapat dikesan serta disaring mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Berikutan itu, dia berkata Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dengkil akan ditutup selama 14 hari untuk operasi nyah cemar dan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Seluruh staf PKM saya turut akan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selepas menjalani saringan," katanya.

Menurut Adhif orang ramai yang mempunyai sebarang urusan boleh menghubungi pejabatnya melalui emel adhifsyan.dengkil@gmail.com.

Pada masa sama, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang soalan berkaitan jangkitan Covid-19 boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang.- Bernama

No comments: