KUALA LUMPUR – Isu kartel daging haram bukan perkara baharu dan ianya ibarat setitik air dalam lautan, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.
Katanya, sebelum ini sudah banyak pendedahan mengenai penipuan oleh pihak tertentu terutama bukan Islam yang melariskan perniagaan mereka dengan menggunakan nama Islam seperti lambang masjid, warna hijau, tulisan Jawi dan sebagainya pada produk mereka.
Menurut beliau, mereka berani melakukan penipuan itu kerana penguatkuasaan di negara ini terlalu mudah disogok.
“Memang dalam masyarakat majmuk dan kegiatan ekonomi terutama kilang pengeluaran di kuasai orang bukan Islam, sudah tentu umat Islam terjebak dengan makanan tidak halal itu.
“Apatah lagi dengan ledakan makanan segera yang ditinkan, hanya dipanaskan sahaja terus dimakan. Ini termasukkan burger, hot dog daging dan ayam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau yang kecewa dengan pentadbiran kerajaan, menyifatkan ada menteri pun ramai jenis tin kosong dengan sikap yang hipokrit dan munafik.
Tegasnya, isu daging haram yang dibungkus semula menggunakan logo halal palsu dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan bukti jelas betapa ketirisan akibat rasuah.
Kata beliau, bukan setakat daging babi atau lembu yang bercampur aduk haram, malah binatang tidak disembelih mengikut syariat Islam juga haram dimakan bagi umat Islam.
“Selain itu, pelbagai penipuan makanan tidak halal berlaku, walaupun ada logo halal. Begitulah di Malaysia yang serba boleh, malah rasuah juga menjadi halal.
“Selagi mana semua agensi kerajaan yang bertanggugjawab tidak tegas dan kakitangan terdedah dengan rasuah, selama itu akan berlaku “tin kosong penuh berisi”.
“Bagi langkah jangka pendek untuk umat Islam menjamin selamat dari makanan tidak halal, jangan lagi membeli daging import termasuk ayam kerana kesahihannya diragukan,” ujarnya.
Ibrahim meminta orang ramai berhenti membeli makanan segera dalam tin atau burger, hot dog dari daging atau ayam bagi menyelamatkan mereka terjebak dengan produk tidak halal.
“Jika teringin makan daging sekali sekala belilah daging tempatan yang dijual dan baru disembelih atau sekurang-kurangnya bertanya kepada penjual sama ada daging itu tempatan atau diimpot.
“Begitu juga ayam, walaupun dijual oleh peniaga Islam, sebagai pembeli kita juga perlu berhati hati, kerana mungkin ayam sembelihan itu diperolehinya dari pihak luar,” katanya.
Justeru, Putra bersetuju kartel yang terlibat dengan penipuan menggunakan logo halal palsu diambil tindakan tegas dan didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun, adakah selepas ini perkara itu tidak akan berulang lagi, kerana sejarah di Malaysia, perkara sama sering berlaku selepas bising sekejap, diam seketika.
“Putra mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kajian Agensi Penguatkuasaan bagi mengemukakan cadangan prosedur standard operasi (SOP) lebih tegas dan keras terhadap kakitangan agensi penguatkuasa yang rasuah, cuai dan menyalahgunakan kuasa.
“Tengok, apa yang berlaku di kalangan pegawai Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, polis dan SPRM. Harapkan pagar, pagar makan padi.
“Kalau di negara China, perasuah ditembak mati, di Filipina, presidennya, Dutarte sendiri tembak pengedar dadah. Begitu juga di Singapura bagaimana berkesannya tindakan pengkuatkuasaan undang-undang mereka,” tegasnya.
Beliau mengesyorkan selepas kejadian yang berlaku, rakyat Malaysia mengutamakan makan ikan, telur, sayur-sayuran demi untuk menjaga kesihatan. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment