PUCHONG – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini berjaya menghalang sekumpulan penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) daripada merobohkan struktur gerai makan milik sekumpulan 43 penjaja di Puchong Permai.
Menurut presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, setelah mengadakan rundingan bersama pihak MBSJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pihaknya diberi tempoh sehingga tujuh hari untuk menangguhkan perobohan itu.
“Dalam tempoh itu, peniaga kena buka (robohkan) gerai masing-masing pindah tempat baharu yang disediakan. Saya sudah maklum kepada pegawai MBSJ kita minta jumpa (Datuk Bandar) sekali sebab tempat baharu ini macam reban ayam, tapak dia kecil sangat 10 x 10 kaki.
“Bagi penjaja, tapak itu (kiosk) tidak sesuai. Jadi pegawai bahagian operasi MBSJ minta saya berbincang dengan bahagian pembangunan untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita di kawasan gerai makan Puchong Permai hari ini.
Terdahulu lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.
Operasi kira-kira pukul 8 pagi tadi bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa ‘bergelut’ dengan penguat kuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.
Selain itu, penjaja turut membawa plakad tertulis pelbagai mesej antaranya MBSJ Sediakan Gerai Bukan Kiosk, Menteri Besar Selangor Mohon Campur Tangan Isu Ini, Datuk Bandar Tolong Prihatin Masalah Peniaga Bukan Meroboh, MBSJ Jangan Bertindak Zalim Semasa Covid-19 dan MBSJ Tangguh Dulu Perobohan Ibu Tunggal Berniaga.
Dalam pada itu, IKHLAS bersama kumpulan penjaja terlibat bercadang untuk membuat laporan polis sekiranya Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan masih enggan berbincang dengan pihak Persatuan Penjaja Puchong Permai berhubung perpindahan itu.
“Sebelum ini peniaga sudah menghantar memorandum kepada YDP MBSJ, tapi tiada jawapan sehingga hari ini. Mereka mengelak jumpa peniaga dan sebagainya.
“Dalam tempoh tujuh hari ini, sekiranya MBSJ tak nak jumpa juga, mengelak juga, kita akan ramai-ramai buat satu laporan polis,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya MBSJ masih enggan membuka pintu rundingan, beliau tidak teragak-agak untuk membawa lebih 100 NGO gabungan itu dari seluruh Malaysia untuk menghalang perobohan itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang mendakwa penempatan semula peniaga gerai makan yang dicadang MBSJ yang terletak di Dataran Permai di sini tidak sesuai.
“Kalau cadangan untuk kiosk memang sesuai tapi kawasan ini adalah gerai makan, sekurang-kurangnya saiznya mestilah 15 x 20 kaki untuk dijadikan gerai.
“Pihak persatuan sudah hantar memorandum sebelum ini, kita harap dapat mengadakan perbincangan dengan persatuan dalam masa terdekat, bukan jumpa secara perseorangan.
“Perdana Menteri kata masa Covid-19 ini beri sedikit kelonggaran untuk peniaga-peniaga menjalankan perniagaan, bincang elok-elok, jangan diroboh, kalau diroboh tak selesai masalah,” katanya.
Ismail turut mendakwa pihaknya tidak diberikan notis bagi kerja-kerja perobohan gerai makan pada hari ini sambil menyifatkannya sebagai perobohan haram.
“Notis dua minggu lepas yang diberikan sudah lupus tapi notis untuk hari ini dianggap perobohan haram sebab tiada notis, biasanya notis dua minggu, selepas itu lupus.
“Hari ini tiada notis, terus roboh, kita berterima kasih kepada pihak polis sebagai orang tengah menyelesaikan perkara ini dengan baik supaya semua operasi hari ini dapat dihentikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment