Friday, May 22, 2020

PKPB: Lebih baik waspada walau ziarah Hari Raya dibenarkan

Bernama
MGF120320_TAUSIYAH-AM_11-1-681x454
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihat agar mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang telah mendapat kebenaran pihak berwajib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 ini, lebih wajar jika orang ramai berhati-hati (elak) agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Contohnya, soal ziarah kubur pada hari raya. Perkara itu (ziarah kubur) tidak menjadi masalah jika orang ramai patuh SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan, dari segi penjarakan dengan bilangan yang tidak ramai. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri juga ada jelaskan, ianya boleh, cuma tidak digalakkan.

“Namun ia terpulang kepada arahan dikeluarkan oleh negeri masing-masing kerana jika arahan ziarah kubur itu tidak dibenarkan (di sesetengah negeri) ia dibuat dengan matlamat untuk menghindari jangkitan wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kewajaran aktiviti ziarah hari raya serta melawat kubur ketika negara berdepan COVID-19, ketika ditemui selepas majlis sumbangan barangan keperluan asas untuk ‘JAWI Food Bank’ yang disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian di Kompleks Pusat Islam di sini.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, jika terdapat perkara yang di antara keduanya iaitu ‘larangan dan kebenaran’ masyarakat diseru untuk memilih bersikap waspada sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sama juga dengan aktiviti berziarah mengunjungi saudara terdekat pada hari raya, walaupun ada SOP dengan jumlah ditetapkan, namun bagi mengelakkan isu-isu (lain) timbul lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

Terdahulu Dr Zulkifli menerima barangan keperluan asas bernilai RM200,000 sumbangan Kedutaan Besar China untuk ‘JAWI Food Bank’ yang akan diagihkan antaranya kepada golongan asnaf, saudara baharu, dan golongan bukan muslim yang memerlukan.

Sumbangan daripada Kedutaan China itu berupa 2,500 pek barangan makanan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, minyak, biskut raya dan 6,000 beg beras.- BERNAMA


No comments: