Sunday, May 24, 2020

Mampukah anda berpuasa 22 jam di hujung dunia tanpa waktu malam?

Khairul Fuad Junaidi berdiri di tepi sebuah gunung dengan berlatar
belakangkan bandar Longyearbyen di Svalbard, Norway.

KOTA KINABALU: Bagaimanakah seorang umat Islam tahu bila masanya untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan di hujung dunia yang tiada waktu malam atau subuh?

Seorang anak muda berani dari Sabah yang tinggal berjauhan daripada keluarga sepanjang Ramadan dan Hari Raya kini tahu caranya.

Khairul Fuad Junaidi lebih suka berada di Pulau Svalbard, Lautan Artik kerana ia antara sebilangan kecil kawasan di bumi ini yang bebas daripada jangkitan Covid-19 dan tiada sebarang bentuk sekatan pergerakan dilaksanakan.

Khairul meninggalkan Kampung Silad di Ranau, Sabah dan menjejakkan kaki di Longyearbyen, Norway, yang hanya dihuni kira-kira 2,300 orang dan 4,000 beruang kutub.

Pada usia 24 tahun, beliau kini mempunyai 2 pekerjaan dan tidak berasa asing di tanah putih salju itu.

“Svalbard mungkin tempat paling selamat di bumi sekarang – kami mempunyai sifar jangkitan Covid-19 di sini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau berharap dapat menyambut Ramadan dan ketibaan Hari Raya bersama keluarganya.

Aurora atau cahaya utara di Svalbard, sebuah
kepulauan Norway di Lautan Artik memukau mata
memandang.

“Saya akan rindu meraikannya bersama keluarga dan rakan saya, tetapi memutuskan untuk tidak pulang kerana pandemik itu. Saya tidak mahu mengambil risiko bagi diri saya dan keluarga di kampung halaman.”

Beliau kini gembira memiliki syarikat sendiri.

“Hanya ada 3 umat Islam lain di sini dan kami jarang jumpa. Saya satu-satunya rakyat Malaysia. Jadi, beraya di sini sama seperti hari biasa. Saya merindui masakan rumah seperti buntut ayam kegemaran saya.”

Walaupun suhu di bawah sifar, Khairul suka melakukan aktiviti luar di sana.

“Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini: Saya suka mendaki, menaiki kereta salji dan bermain ‘sledding’. Dan aurora memukau mata memandang.

“Suhu jatuh kepada -32°C pada musim sejuk, tetapi saya sudah biasa dengannya sekarang.”

Katanya, sekarang ialah musim matahari tengah malam, iaitu waktu siang sepanjang hari sehingga Ogos ini.

“Kebanyakan orang di sini beragama Kristian. Tidak ramai yang pernah dengar Ramadan atau tahu umat Islam berpuasa sepanjang tempoh ini.”

Beliau tidak berdepan sebarang kesukaran mendapatkan makanan halal, tetapi tidak mudah berpuasa di bawah matahari tengah malam.

“Saya berdepan masalah berpuasa di sini pada mulanya kerana tidak dapat membezakan waktunya daripada matahari, jadi saya perlu memeriksa waktu berbuka puasa mengikut Makkah.”

Setiap hari, Khairul perlu berpuasa kira-kira 21 jam. Beliau bersahur kira-kira 1 pagi waktu tempatan, solat subuh pada 1.40 pagi dan berbuka puasa pada 10.30 malam.

Walaupun berjauhan dari kampung halaman, beliau tidak lupa tanggungjawab terhadap keluarganya.

“Ibu bapa saya sudah tidak bersama kami, jadi saya sebagai anak sulung perlu bekerja keras untuk adik-adik saya.

“Saya sentiasa bimbang tentang mereka, khasnya ketika penularan pandemik. Mujurlah nenek kami menjaga mereka dan mereka baik-baik saja setakat ini.”

Sebuah tasik beku di Longyearbyen, Svalbard.

Keluarganya memiliki sebuah kedai pakaian yang kecil di Ranau, tetapi beliau merasakan dirinya dapat mencari lebih banyak wang di tempat tinggalnya sekarang.

Ini sebabnya keutamaan pertamanya ialah sentiasa bekerja dan mencari wang. Beliau bekerja sebagai ketua pelayan pada siang dan tukang masak di sebelah malam.

“Bagaimana saya sampai ke sini panjang ceritanya. Saya pada mulanya datang bersama seorang saudara dari Amerika Syarikat, tetapi beliau sudah pergi.”

Longyearbyen pada musim sejuk di mana suhu akan
jatuh kepada -32°C.

Beliau masih mampu menikmati hidupnya, walaupun mempunyai 2 pekerjaan.

“Saya sangat suka tempat ini dan mahu tinggal di sini sehingga saya bersara.”

Svalbard ialah zon tanpa visa. Sesiapa saja boleh tinggal dan bekerja di sini, tanpa mengira kerakyatannya. Selepas 7 tahun, anda layak mendapat kewarganegaraan Norway.

Satu daripada faktor ia bebas daripada Covid-19 ialah ia ditutup kepada orang luar sejak pertengahan Mac lalu.

Ia akan dibuka semula 1 Jun ini, tetapi hanya kepada pelancong dari Norway.

Jika anda datang ke Svalbard, singgahlah di rumah tumpang dan restoran Coal Miners’ Cabins untuk berbual dengan satu-satunya rakyat Malaysia ini.


No comments: