Tuesday, April 21, 2020

Keluarga tersepit mencari wang untuk baiki rumah usang

Khairudin Mohamed Yusuff bersama isteri dan anak.

GEORGE TOWN: Perintah kawalan pergerakan menyebabkan kehidupan lebih sukar untuk sebuah keluarga 3 beranak yang bergantung pada kebajikan di sebuah rumah usang di Kampung Melayu, Air Itam.

Mereka masih terima bantuan makanan daripada pejabat Adun tetapi tidak sekerap sebelum PKP berkuatkuasa, menurut Noraini Khairuddin, 46, anak dalam keluarga itu.

Namun bukan itu yang terlalu merisaukan mereka. Apa yang mereka amat bimbang adalah keadaan rumah mereka. Ia kopak-kapik.

“Kita boleh hidup dengan roti dan Milo,” kata Noraini kepada FMT. “Saya bimbang rumah ini.”
Khairudin di biliknya bawah rumah.
Bukannya mereka tidak boleh berpindah. “Kami banyak kali tawarkan rumah pangsa kerajaan tetapi mereka tidak mahu,” kata Adun Air Itam, Joseph Ng.

Noraini berkata ibu bapanya tidak mahu tinggalkan kawan-kawan di kejiranan itu dan tidak suka duduk di rumah pangsa.

Mereka berharap dapat membaiki rumah mereka yang berusia 30 tahun dan terus tinggal di situ seumur hidup.
Khairudin di rumahnya yang berusia lebih 30 tahun.
Tetapi kawalan sekarang ini menyebabkan ia mustahil untuk memulakan sebarang baik pulih, itupun kalau mereka ada wang.

Tiada kerja yang ada untuk Noraini, satu-satunya anggota keluarga yang mampu bekerja.

Tidak banyak yang boleh bapanya, Khairudin Mohamed Yusuff, 85, buat sejak pinggul kanannya sakit selepas dibedah. Ibunya, Sabar Bee, 75, juga dibedah di perut dan tidak boleh bekerja.
Noraini dan ibunya di ruang tamu.
“Saya sahaja yang boleh bekerja, jadi anak yang baik untuk cari wang,” kata Noraini.

Mereka perlu bayar bil utiliti serta sewa bulanan RM140 ke atas tanah yang rumah mereka duduki. “Kami guna pencen bapa untuk bayar,” kata Noraini.

“Tetapi saya masih perlu cari kerja supaya boleh baiki rumah. Tetapi saya tak banyak berjalan kerana baru-baru ini kaki saya tercedera dan sakit. Lagipun, macam mana nak cari kerja dalam tempoh kawalan?”
Sabar Bee di biliknya.
Rumah seluas 20×20 kaki itu dibina atas kaki bajang dan Khairuddin duduk di bawahnya kerana kesakitan pada kaki menyebabkan beliau sukar menaiki tangga.

Ng berkata beliau ada memohon geran daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membaiki rumah itu tetapi tidak berjaya. Katanya lagi, wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung meronda kawasan kampung setiap hari bagi memastikan penduduk terima barang makanan setiap hari.

Beliau juga cuba mendapatkan bantuan Tenaga Nasional Bhd kerana ia ada program untuk membina rumah bagi penduduk kampung. Permohonan itu sebelum PKP berkuatkuasa dan beliau masih menunggu respon.

No comments: