KUALA
LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Nik Saiful Adli
Burhan tertarik dengan kenyataan Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
mengenai nasib penyewa rumah yang tidak mempunyai pendapatan pada waktu
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya tidak mampu membayar sewa
kepada pemilik rumah.
Ujarnya, sememangnya apa yang ditekankan oleh Pemuda UMNO ialah
kerisauan jika ianya meningkatkan lagi jumlah penduduk yang tiada tempat
tinggal akibat kegagalan membayar sewa.
“Dalam hal ini, tuan rumah bukan sahaja perlu menggunakan budi
bicara, tetapi perlu tahu apa hak-hak penyewa terhadap kediaman yang
disewa, meskipun telah gagal melunaskan bayaran sewa. Menghalau bukanlah
sesuatu tindakan yang sah seandainya tiada perintah daripada mahkamah.
“Bercakap
dari sudut undang-undang, satu-satunya undang-undang yang mengawalselia
hak-hak penyewa dan tuan rumah ialah Akta Relief Spesifik 1950. Seksyen
7(2) akta ini dengan jelas menyatakan bahawa penyewa yang telah tamat
atau ditamatkan tempoh sewaan kerana ingkar membayar sewa dan
sebagainya, hanya boleh dihalau keluar melalui perintah mahkamah,”
jelasnya dalam satu kenyataan.
Seterusnya tambah Pengerusi Sekretariat Peguam Muda itu lagi,
undang-undang tersebut sudah memadai untuk melindungi penyewa untuk
waktu yang singkat daripada kehilangan rumah kerana kegagalan membayar
sewa sepanjang PKP.
“Meskipun jika terdapat klausa-klausa tertentu dalam penjanjian
penyewaan antara kedua-dua pihak yang membenarkan penyewa dihalau
keluar, semestinya klausa yang tidak selari dengan peruntukan akta ini
adalah terbatal dan tidak boleh terpakai.
“Namun begitu, penyewa pula janganlah mengambil kesempatan
menggunakan peruntukan undang-undang ini untuk mengelak daripada
membayar sewa rumah,” katanya.
Ulasnya juga, pada masa bank-bank dan institusi kewangan rata-ratanya
memberikan moratorium dengan menangguhkan bayaran pinjaman selama 6
bulan, penyewa rumah mungkin tidak akan menikmati secara terus, hasil
daripada pelaksanaan bantuan ini malah, rumah-rumah yang diberi sewa
banyak yang masih dalam pinjaman bank yang mana pemilik rumah sewa
tersebut menerima manfaat daripada moratorium ini.
Justeru itu katanya, walau apa pun peruntukan undang-undang dan
hak-hak setiap pihak, Pemuda UMNO menyeru semua pihak untuk berbincang
dengan baik tanpa menindas mana-mana pihak.
“Di dalam suasana bencana sebegini, tidak ada sesiapa pun yang wajar
mengaut keuntungan mahupun mengambil kesempatan atas kesusahan orang
lain.
“Pada masa yang sama, adalah wajar pihak kerajaan meneliti hal ini
serta mencari kaedah penyelesaian yang standard supaya tuan rumah tidak
mengalami kerugian yang serius dan pada masa yang sama, rakyat yang
terkesan akibat wabak ini terus diberi perlindungan dan terus boleh
tinggal di rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nik Saiful berkata, bagi penyewa yang terkesan dengan
wabak COVID-19 dan dihalau keluar rumah sewa, Sekretariat Peguam Muda
Pemuda UMNO sedia membantu dari segi khidmat nasihat berkaitan
perundangan dan memastikan tiada rakyat yang tertindas sepanjang tempoh
semua pihak menangani wabak tersebut. – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment