Saturday, June 1, 2019

Takut digelar 'andartu' punya pasal

Ahmad Ismail
 
 

TERLALU gopoh dalam memilih pasangan berikutan bimbang digelar anak dara tua dikenalpasti menjadi punca keretakan rumah tangga yang dibina dalam kalangan pasangan muda berusia 30 tahun ke bawah.

Pegawai Tadbir Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’ zim (YPKDT) Daerah Segamat, Nurmala Mohd Amin@Aman berkata, keruntuhan rumah tangga golongan terbabit amat ketara berpunca daripada ketidak-sefahaman walaupun hanya berpunca dari isu kecil.

“Ada isu tidak perlu diperbesarkan umpamanya menentukan siapa yang sepatutnya menghantar anak ke sekolah setiap hari, namun ia tetap mencari punca keretakan rumah tangga.

“Kesibukan melayari laman sosial di telefon bimbit hingga di bawa ke meja makan turut menyumbang konflik rumah tangga hingga ia perpanjangan akibat syak wasangka dan cemburu buta,” katanya ditemui di pejabat YPKDT Segamat di Segamat, hari ini.

Katanya, ada segelintir golongan muda yang cemburu melihat rakan sebaya berumah tangga, tertekan kerana belum memiliki pasangan turut mencari jalan mudah mencari pasangan ‘tangkap muat’.

“Mereka lebih bimbangkan sindiran orang ramai akan status ‘andartu’ dan kemudiannya berkenalan di media sosial tanpa mempedulikan pandangan ibu bapa.

“Pada masa sama mereka kurang bertanyakan pahit manis dan asam garam berumah tangga pada rakan yang sudah melalui fasa terbabit.

“Ada rakan turut tidak jujur dan hanya berkongsi yang indah sahaja mengenai kehidupan berkeluarga, sedangkan kehidupan digambarkan tidak seindah seperti diperkatakan.

“Tiada pasangan yang inginkan perceraian, namun jika hidup terseksa selain digantung tidak bertali umpama menyeksa diri sendiri,” katanya yang mengakui ada yang ke tahap meminta kaunseling pihak jabatan agama.

Katanya, perkenalan singkat dan belum mengenali hati budi menyebabkan ramai pasangan muda terkandas di tengah jalan.

“Sebaiknya ambil sedikit masa mengenali hati budi masing-masing dan mengenali tabiat buruk pasangan.

“Selain bersikap terbuka menerima sedikit kekurangan kerana fitrah manusia yang serba kekurangan serta usaha mendalami lagi ilmu keagamaan,” katanya.

Menurutnya, keluarga juga harus meletakkan wang hantaran munasabah dan ‘mampu milik’ kerana ia wang itu lebih baik digunakan bagi kegunaan selepas berkahwin.

Nurmala berkata, pihak YPKDT Segamat menyediakan pelbagai kaunseling, kursus kemahiran ikhtiar hidup percuma membabitkan kerjasama pihak Kolej Komuniti 2 di Batu Anam, di Segamat dengan pemberian sijil.

“Antara kursus ditawarkan membabitkan masakan, jahitan serta pastri selain bantuan perkakasan.

“Program ‘Stop It, Survive’ khusus amat sesuai buat ibu tunggal dan balu bagi memperkasakan jati diri wanita yang teraniaya, juga kehilangan suami supaya tidak berterusan dizalimi.

“Jangan membisu, sebaiknya buat laporan polis dan hindari sikap bimbang diceraikan kerana tidak mampu berdikari kelak,” katanya.

No comments: