Sunday, June 2, 2019

Lebih 20,000 tandatangan desak Tommy Thomas letak jawatan

tyrazalhe 

Adakah wujud konspirasi di peringkat tertinggi untuk lindung pesalah?


BANGI– Sejak dilancarkan Selasa lalu, 21,923 rakyat sudah menandatangani petisyen atas talian bagi mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan jawatan.

Petisyen yang dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) itu mempertikaikan integriti dan kredibiliti Tommy dalam mengendalikan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, susulan peristiwa kekecohan di Kuil Maha Mariaman, Subang Jaya pada November tahun lalu.

Dalam petisyen itu, UMMAH turut menyenaraikan beberapa keraguan terhadap proses inkues berkenaan termasuk kenyataan beberapa saksi yang pada awalnya mengaku Allahyarham Adib dipukul, namun kemudian membuat pusingan-u ketika perbicaraan.

“Keterangan-keterangan yang bercanggah ini menimbulkan beberapa persoalan besar antaranya, adakah di sana wujud konspirasi di peringkat tertinggi untuk melindungi pesalah? Adakah Peguam Negara terbabit?

“Di mana disiplin Peguam Negara sebagai seorang peguam yang sepatutnya tahu akan peraturan perundangan? Bagi saya, Peguam Negara harus lebih berhati-hati kerana kes ini menarik perhatian seluruh rakyat,” kata UMMAH.

UMMAH menjelaskan sebelum ini juga ramai yang menentang pelantikan Tommy kerana dilihat tidak arif dalam bahagian jenayah, tetapi berpengalaman untuk kes-kes komersial.

“Cuba bayangkan jika kesilapan-kesilapan seperti ini berlaku pada masa-masa hadapan, berapa banyak lagi nyawa manusia akan terkorban tanpa mendapat keadilan yang sebenar?

“Beliau juga difahamkan kurang fasih berbahasa kebangsaan dan ini sudah pasti menambah kerisauan rakyat kerana laporan-laporan rasmi negara kesemuanya adalah dalam bahasa kebangsaan. Apakah beliau akan tersalah faham membaca laporan polis yang ditulis dalam Bahasa Melayu?,” kata UMMAH.

Jumaat lalu, UMMAH diketuai Pengerusinya, Aminuddin Yahaya hadir ke Pejabat Peguam Negara bagi menyerahkan surat tuntutan kepada Tommy Thomas untuk meletak jawatan.

Walaupun berada di pejabat, Tommy bagaimanapun menolak berjumpa dengan pihak UMMAH untuk diserahkan terus surat itu kepadanya secara aman.

Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu di platform change.org.
 
 

No comments: