Selepas sultan Johor mengkritik Akmal Nasir berbuka puasa di Gurdwara Sahib, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim tampil mempertahankan ahli parlimen Johor Bahru.
Hassan berkata beliau menghormati Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan sebagai ketua agama negeri, baginda “berhak mengeluarkan kenyataan.”
Bagaimanapun, Hassan berkata perbuatan Akmal yang berbuka puasa di Gurdwara Sahib Johor Bahru tidak bercanggah hukum Islam.
“Akmal Nasir yang menghadiri majlis buka puasa di Gurdwara Sahib tidak salah dari sudut hukum Islam, maknanya ia bukan isu yang besar.
“Akmal dilantik oleh rakyat Johor Bahru sebagai pemimpin masyarakat tak kira bangsa, agama dan kaum.
“Dia tidak sembahyang di Gurdwara tetapi sembahyang di Masjid Kotaraya. Dia hanya buka puasa sahaja.”
Suasana muhibah
Sultan Ibrahim bertitah tindakan itu tidak menjaga sensitiviti umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa.
Baginda juga bertitah acara seumpama itu di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada bukan Islam menyebarkan dakyah mereka.
Beliau berkata Akmal yang mewakili rakyat Johor Bahru hanya nak mewujudkan suasana muhibah antara komuniti tempatan dan menekankan orang Islam tidak senang dipengaruhi.
“(Orang Islam) tak perlu takut, orang Islam tidak mudah dipengaruhi oleh agama lain. Jangan salah sangka.
“Iman orang Islam kuat. Ini adalah tanggungjawab pemimpin-pemimpin Islam memberi pendidikan agama yang kuat kepada orang-orang Islam.
“Jangan jadi orang Islam yang tiada pendidikan agama. Kalau mereka ada pendidikan agama, mereka boleh berinteraksi dengan bukan Islam lebih yakin.”
No comments:
Post a Comment