Thursday, June 6, 2019

‘GPS perlu bimbang jika Latheefa sasar ikan besar Sarawak’

MALAYSIAKINI

   

Adun Padungan, Wong King Wei menasihatkan pemimpin kerajaan negeri Sarawak agar tidak mempersoalkan latar belakang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, tetapi sebaliknya risau tentang siasatan berhubung rasuah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wong memberitahu pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya memberi fokus sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM baru Latheefa Koya akan mengambil tindakan terhadap pemimpin yang mengamalkan rasuah di Sarawak.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Idris Buang mempersoalkan pelantikan Koya dan mengatakan pelantikan itu adalah "meloyakan" dan "bertentangan dengan semangat kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menegakkan kedaulatan undang-undang."

"Saya menggesa Idris Buang dan pemimpin GPS supaya tidak bimbang dengan latar belakangnya tetapi bimbang jika dia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap 'ikan besar' yang rasuah di Sarawak," kata Wong yang juga adalah naib pengerusi DAP Sarawak.

Wong berkata beliau percaya rakyat Sarawak yang berakhlak mulia telah lama tertunggu-tunggu tindakan SPRM ke atas pemimpin kerajaan negeri yang korup.

"Tidak ada apa yang berlaku setakat ini selepas satu tahun berkuasa. Dengan pelantikan ketua SPRM baru, saya mempunyai harapan tinggi bahawa dia akan bertindak segera, adil, bebas dan secara drastik terhadap pemimpin-pemimpin rasuah di Sarawak.

"Saya kecewa dengan bekas ketua SPRM lalu yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap rasuah di Sarawak. Sebaliknya, Idris Buang kecewa dengan pertukaran itu," kata Wong.

Wong mendesak SPRM untuk bertindak secara proaktif dalam menyiasat amalan rasuah di Sarawak, tanpa rasa takut atau memihak, atau tanpa mengira siapa pemimpin berkenaan dan kedudukan yang dipegangnya.


No comments: