Friday, June 21, 2019

Bebas wanita dituduh bunuh pembantu rumah kerana masalah kesihatan, kata hakim

Ambika MA Shan di Mahkamah Magistret Bukit Mertajam pada 
April tahun lepas. (Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang berkata, wanita yang dituduh membunuh pembantu rumahnya dibebaskan semasa perbicaraan sedang berjalan kerana peguam kerajaan tidak mengemukakan alasan kukuh bagi keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Akhtar Tahir berkata, selepas disoal beberapa kali oleh mahkamah berhubung permohonan itu, timbalan pendakwa raya hanya berkata beliau diberitahu supaya memohon DNAA.

Katanya, dengan merujuk kepada Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah, peguam pembelaan menggesa mahkamah membebaskan tertuduh kerana faktor umur dan keadaan kesihatan beliau.

“Berdasarkan Seksyen 254 (3), jelas bahawa dalam hal keadaan tertentu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan membebaskan, bukannya DNAA,” katanya dalam penghakiman beliau yang dilihat oleh FMT.

Pada 19 April, Akhtar membebaskan Ambika MA Shan, 61, daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya, Adelina Jerima Sau, 26, yang meninggal dunia akibat kegagalan organ berikutan penderaan yang didakwa dialamnya di sebuah rumah di Bukit Mertajam tahun lepas.

Jiran dilaporkan terlihat Adelina tidur bersebelahan seekor anjing di halaman rumah Ambika dengan kesan terbakar serta lebam dikatakan ditemui pada badannya.

Akhtar berkata, dalam kes ini, perbicaraan telah bermula dan kegagalan timbalan pendakwa raya menjelaskan tentang permohonan DNAA merupakan sebab yang memadai bagi membebaskan Ambika.

“Selain itu, tertuduh berumur lebih 60 tahun dan mempunyai masalah kesihatan,” katanya dengan menambah bahawa mahkamah memberi keutamaan kepada kes tersebut.

Katanya, adalah tidak adil sekiranya mahkamah menjadualkan semula kes berkenaan sekiranya Ambika didakwa semula.

Bagaimanapun kata beliau, Ambika dibebaskan daripada tuduhan membunuh, dan pendakwa masih boleh mendakwanya atas kesalahan lain sekiranya ia mahu berbuat demikian.

Pihak pendakwaan memanggil 3 orang saksi sebelum permohonannya mendapatkan DNAA gagal.

Ambika berada di bawah tahanan reman kerana lazimnya ikat jamin tidak diberikan kepada orang yang dituduh melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati.

Berikutan pembebasan Ambika, kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Pengurusan kes ditetapkan pada 12 Julai depan.

No comments: