Sunday, June 2, 2019

Alah pada khinzir, ayah pesan masuk saja Islam


   

WAWANCARA | Siapa sangka masalah alahan pada kulit akibat daging khinzir membuka peluang kepada Nur Shafiyyah Wong untuk mendalami dan memeluk agama Islam.

Dibesarkan dalam agama Kristian, Nur Syafiyyah berkata pada waktu kecil dia sering mengalami sakit perut, gatal dan bengkak pada kulit sekiranya memakan daging berkenaan.

Akibatnya dia bukan sahaja tidak boleh menjamah daging khinzir, malah pinggan mangkuknya juga tidak boleh bercampur aduk dengan adik beradik yang lain.

Menurutnya, pada waktu itu mendiang bapanya berpesan agar dia memeluk Islam akibat masalah alahan yang teruk itu.

“Saya juga akan sesak nafas kerana alergi. Saya memang tak boleh kena langsung airnya (khinzir).
Mak Su (makcik) saya cakap, betul cakap mendiang ayah, awak bila dah besar nanti masuklah Islam,” kongsinya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Ketika diwawancara, Nur Shafiyyah turut tidak dapat melindungi emosinya apabila terkenangkan mendiang bapanya yang tidak sempat melihat dia memeluk Islam.

“Saya masih ingat ayah dengan nada serius suruh saya masuk Islam. Tapi saya sedih dia tak dapat tengok saya masuk Islam,” katanya menahan air mata.

Nur Shafiyyah atau namanya sebelum ini Wong Lee Sah berasal dari Sarawak dan memiliki lima orang beradik yang kesemuanya dilahirkan dalam agama Krisitian.

Namun selepas kematian kedua ibu bapanya, dia berpindah ke Pulau Pinang dan dibesarkan oleh ibu saudara yang beragama Buddha.
Ketika meningkat dewasa, Nur Shafiyyah mula hidup berdikari dan bekerja sebagai tukang masak di beberapa buah restoran di ibu kota.

Setiap hari Nur Shafiyyah menjalani kehidupan seperti biasa namun apabila terdengar bunyi azan, hatinya berasa girang sehingga mula jatuh cinta dengan agama Islam.

Tarikh 29 Febuari 2012 merupakan detik yang tak dapat dilupakan Nur Syafiyyah apabila bermula kehidupan baru sebagai seorang Muslim pada usia 35 tahun.

“Niat saya masuk Islam kerana Allah. Setiap hari saya dengar azan, saya rasa sayu je. Bila azan subuh lagi sayu.

“Bila saya bangun tidur, saya menitik air mata, saya terharu selepas itu saya tekad. Ya Allah, mungkin dah sampai hidayah buat saya.

Keluarga terima dengan hati terbuka

“Keesokan harinya, saya beritahu abang angkat, dan dia bawa saya ke Perkim di Jalan Ipoh untuk lafaz shahadah,” katanya ditemui ketika mengikuti Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata beliau bersyukur, walaupun menukar agama, namun keluarganya dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Keluarga saya kata, agama apa pun baik. Janji awak bahagia. Kita adik beradik tak marah. Kakak juga berpesan supaya jaga diri,” katanya.
Nur Shafiyyah yang belum berkahwin berkata, antara cabaran terbesar selepas menganut agama Islam adalah sukar mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib.

“Saya susah dapatkan bantuan, selepas setahun dua, kita mohon kembali untuk minta bantuan bayar sewa rumah, alhamdulillah zakat bantu,” katanya.

Beliau yang sudah tujuh tahun menganut Islam kini belajar agama di Masjid Bukit Indah kelolaan Jawi tiga kali seminggu dari Isnin hingga Rabu.

Malah, dia kini sudah mampu membaca al-Quran dengan baik.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur hidup saya sekarang ni. Saya juga rasa diri saya sempurna dalam Islam,” katanya.

No comments: