TIGA beradik warga emas wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Kampung Titi Besi di Arau tinggal sehelai sepinggang selepas segala persiapan menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi di rumah mereka hangus dalam kebakaran, hari ini.
Dalam kejadian 4 petang itu, rumah pusaka yang didiami Che Manai Ibrahim, 73 bersama dua lagi kakaknya, Zainah, 79 dan Khalijah, 98 musnah sama sekali sehingga tiga beradik berkenaan terpaksa menumpang di rumah anak saudara mereka.
Menceritakan detik cemas itu, Che Manai berkata dia bersama dua lagi kakaknya sedang berada di dalam rumah dan baru sahaja pulang daripada berniaga barangan kraf di Kangar.
“Ketika itu saya ada di ruangan utama rumah dan ingin ke bilik air untuk mengambil wuduk, sewaktu berada di bahagian tengah rumah terasa bahang naik ke muka.
“Tak lama selepas itu kedengaran bunyi seakan bunyi mercun tidak jauh daripada tempat saya berdiri, kemudian kedengaran jiran-jiran menjerit ‘api’ dan masuk ke rumah dari pintu hadapan untuk menyelamatkan kami tiga beradik.
“Keadaan kelam kabut ketika itu kerana suara riuh rendah dari luar dan dalam rumah, saya hanya berdoa agar dua lagi kakak selamat kerana kami sudah uzur dan tua,” katanya ketika ditemui di Kampung Titi Besi.
“Habis segala persiapan Aidilfitri kami, baju raya yang ditempah, tiga kilogram daging lembu dan wang tunai juga hangus dalam kebakaran itu.
“Malah, baju yang kami sedang pakai ini juga anak saudara yang berikan kerana pakaian harian turut hangus di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Menurut Zainah, mereka bertiga reda dengan takdir yang menimpa dan anggaran kerugian dilaporkan mencecah RM70,000 yang membabitkan kerosakan rumah dan barangan berharga mereka.
“Kami bertiga bersyukur kerana kesemua kami selamat dan Aidilfitri tahun ini adalah ujian besar buat kami bertiga yang uzur ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment