Friday, June 21, 2019

12 minit tangkap ular sawa 25kg


LANGKAWI – Seorang wanita hampa buat kali kelima apabila ayam peliharaannya di Kampung Bukit Tekoh, dekat sini, terus menjadi sasaran ular sawa.

Khairul Aida Ismail berkata, sejak tahun lepas sudah empat kali ayam peliharaan dalam reban berhampiran rumahnya itu dibaham ular sawa.

Katanya, kejadian terbaharu berlaku kira-kira 8 pagi tadi, semasa beliau ke reban untuk memeriksa seekor ibu ayam peliharaannya yang sedang mengeram telur.

“Sekitar 8 pagi tadi, saya ke reban tersebut dan ternampak ular sawa batik dalam keadaan kekenyangan setelah menelan ayam peliharaan. Saya kemudian minta anak saudara untuk hubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk datang menangkap ular berkenaan.

“Hari ini adalah kali kedua anggota APM datang bantu tangkap ular sawa, tiga lagi tangkapan dilakukan oleh anggota bomba, ” katanya kepada pemberit, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan APM Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 10.08 pagi sebelum tiga anggota ke lokasi kejadian untuk menangkap ular itu.

“Anggota APM berjaya menangkap ular sawa sepanjang tiga meter dan seberat 25 kilogram itu dalam tempoh 12 minit,” katanya. -Bernama


No comments: