Friday, May 3, 2019

Setahun kerajaan PH, mana hala tuju?

Manzaidi Mohd Amin
Muhammad Khalil Abdul Had
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tempoh setahun pemerintahannya menurun pada tahap paling rendah.

Penurunan itu membuktikan rakyat sudah berpaling tadah dan berpatah arang dengan kerajaan yang hanya tahu berjanji, tetapi gagal menunaikan itu.

Jelas Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, kerajaan PH hari ini bukan sahaja berdepan dengan kemerosotan sokongan, bahkan menerima kritikan teruk dari rakyat.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH mencatatkan peratusan sokongan paling tinggi sehingga dapat mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kini, peratusan sokongan terhadap PH berada di tahap paling rendah sekali selepas PRU14. Ini, membuktikan ramai telah berpatah arang dengan PH.

“Selain itu, selepas setahun PH menjadi kerajaan, rakyat merasakan tiada perubahan berlaku seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, sistem cukai GST yang dipotretkan PH sebeum PRU14 sebagai punca utama harga dan kos barangan termasuk perkhidmatan meningkat walaupun setelah dihapuskan oleh kerajaan baharu, ia tetap gagal menurunkan semua yang dijanjikan.

Kata beliau, PH memperkenalkan semula sistem cukai SST dengan retorik bahawa harga dan kos barangan termasuk perkhidmatan akan turun.

Bagaimanapun, selepas dilaksanakan majoriti harga barangan keperluan dan kos barangan tetap tidak turun, malah banyak yang meningkat dengan drastik.

“Ringgit jatuh teruk dan keadaan ekonomi tidak menentu selepas PH mengambil alih, dan kerajaan pula seperti tiada haluan dalam menguruskan ekonomi negara.

“Harga komoditi utama negara seperti sawit dan getah turun dengan drastik sehingga menjejaskan kehidupan peneroka dan pekebun kecil.

“Ini menunjukkan, tiadanya pelan jangka pendek mahupun panjang yang berkesan dalam menangani kelembapan ekonomi negara walaupun setelah dibentangkan Belanjawan 2019 untuk merancakkan semula ekonomi,” katanya.

Ini katanya, membuktikan kerajaan terutamanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng gagal menguruskan ekonomi dengan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, hala tuju politik PH juga dilihat kucar kacir dan tidak konsisten oleh pemerhati politik tempatan mahupun antarabangsa.

“Walaupun bergelar kerajaan, PH jelas tidak sependapat, kerap mengeluarkan kenyataan mahupun polisi yang tidak konsisten sesama mereka.

“Adakalanya sikap berpolitik secara berlebihan sesama mereka jelas memaparkan wajah sebenar parti dalam PH mempunyai agenda masing-masing yang tidak selari dengan polisi mahupun manifesto mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: