Thursday, May 30, 2019

Malaysia tidak peduli, terus guna teknologi 5G Huawei - Tun M

Firdaus Azil, Astro Awani
Malaysia tidak peduli, terus guna teknologi 5G Huawei - Tun M
-Pasaran di Malaysia terlampau kecil untuk mempunyai kesan ke atas Huawei," kata Dr Mahathir Mohamad. - Gambar BERNAMA
 
 
TOKYO: Malaysia akan terus menggunakan teknologi Huawei, walaupun syarikat gergasi China itu sedang menerima tekanan di peringkat antarabangsa, termasuk larangan Amerika Syarikat ke atas produk itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan terganggu dengan langkah AS walaupun timbul dakwaan Huawei menggunakan teknologi mereka untuk aktiviti pengintipan.

“Pasaran di Malaysia terlampau kecil untuk mempunyai kesan ke atas Huawei, yang kita tahu mempunyai penyelidikan dan pembangunan yang jauh lebih besar berbanding negara kami. Jadi kami akan cuba menggunakan teknologi mereka sebaik mungkin.
–– ADVERTISEMENT ––
 
“Ya mungkin benar dakwaan terdapat pengintipan yang dilakukan, tetapi untuk Malaysia... apa dia yang nak diintipkan pun? Malaysia negara terbuka... kalau ada pihak nak invade (serang), kami tak melawan... buang masa,” katanya dalam nada gurauan.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia anjuran Nikkei Inc kali ke-25 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Terdahulu, moderator Sonoko Watanabe yang juga Ketua Pengarang Nikkei Osaka bertanyakan kepada Dr Mahathir sama ada Malaysia akan turut mengambil langkah melarang penggunaan Huawei.

Awal tahun ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, kerajaan harus menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelum meneruskan hasrat menggunakan teknologi 5G melalui infrastruktur Huawei.

Gobind berkata, SKMM sedang membuat kajian menyeluruh mengenai isu tahap keselamatan yang melingkari teknologi China itu. 
 
 

No comments: