Friday, May 3, 2019

Kerajaan Selangor lemah, gagal tadbir urus

Manzaidi Mohd Amin
Sallehen Mukhyi
Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM – Sikap rakus dan serakah politik yang begitu besar kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, jika dahulu mereka sanggup membelanjakan RM628 juta kononnya untuk program rakyat, sekarang sudah tidak banyak lagi dana untuk dibelanjakan.

Disebabkan kerakusan itu, katanya, banyak program rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan skim hadiah perkahwinan untuk belia telah ditamatkan.

“Malah banyak program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tiada lagi kedengaran berita, umpama tergantung tanpa tali,” katanya kepada media hari ini.

Beliau turut menjelaskan, laporan tahunan Akauntan Negara juga menunjukkan prestasi kewangan kerajaan negeri mengikut Baki Wang Yang Disatukan menurun secara sistematik iaitu RM3.2 billion tahun 2014, RM3.25 billion (2015), RM3.051billion (2016) dan RM2.82 billion (2017).

Kata Sallehen, tahun kewangan 2017 kerajaan Selangor diakhiri dengan defisit pada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM368.56 juta berbanding defisit pada 2016 berjumlah RM144.66 juta dengan peningkatan sejumlah RM223.90 juta atau 154.8 peratus.

Mengikut laporan Akauntan Negara, ini telah disebabkan kesan daripada peningkatan perbelanjaan sejumlah RM534.34 juta (20.2 peratus) melebihi peningkatan hasil sejumlah RM310.44 juta (12.4 peratus).

“Dengan mengambil kira defisit ini, baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan tahun 2017 berkurangan menjadi RM1.08 bilion berbanding RM1.45 bilion pada tahun 2016.

“Membaca kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor jelas menunjukkan kerajaan negeri PH Selangor ini tidak berupaya dan berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus negeri dengan baik.

“Pegawai berkenaan dengan senang dan tiada sedikit pun rasa bersalah menyatakan kerajaan negeri tidak terbeban membayar hutang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk pembelian syarikat air SPLASH sejumlah RM1.9billion, iaitu 10 kali ganda daripada tawaran asal.
“Alasan beliau kerana bayaran balik dibuat dalam jangka masa panjang.

“Beliau juga mendabik dada kerana kerajaan negeri telah membelanjakan RM628 juta melalui program kebajikan IPR, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada dana dikeluarkan untuk MES ketika Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan menteri besar,” tegasnya.

Persoalannya ujar beliau, adakah pegawai itu juga mendabik dada apabila rizab kerajaan negeri semakin menurun sejak 2015?

“Kerajaan yang berkebolehan serta bertanggungjawab tidak akan membelanjakan wang sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan masa hadapan.

“Berbalik kepada pembelian SPLASH, alasan konon ianya pinjaman jangka panjang adalah alasan dangkal dan tidak bertanggungjawab.

“Apa yang pasti, bayaran tetap perlu dibuat kepada SPAN dan akan berterusan selama sembilan tahun lagi. Alangkah baiknya jika dana yang digunakan membayar hutang ini digunakan untuk membiayai program kebajikan  untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: