Peruntukan RM60j untuk jaga kawasan perlindungan hutan dan marin
PUTRAJAYA– Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menghapuskan pinjaman yang
diberi kepada kerajaan negeri bagi projek bekalan air luar bandar pada
2001 dan ke atas, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari
ini.
Beliau berkata, pinjaman itu adalah
berdasarkan baki belum selesai pada 31 Disember 2018 dengan jumlah
keseluruhan RM3.8 bilion, yang tertakluk kepada kerajaan negeri untuk
memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air selewat-lewatnya pada 31
Disember 2019.
Untuk akan datang, beliau berkata projek
bekalan air luar bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah
Kerajaan Persekutuan, tetapi diperuntukkan dalam bentuk geran di bawah
kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Pelaksanaan hapus kira ini diharapkan
dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri bekalan air dan
mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah
berterusan dapat dinikmati rakyat pada jangka masa panjang,” katanya
pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan
Negara di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata,
syarikat operator negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan
kualiti perkhidmatan bekalan air.
Pada mesyuarat hari ini juga, beliau
berkata, Kerajaan Pusat bersetuju meluluskan tambahan peruntukan
sebanyak RM60 juta untuk kerajaan negeri mulai tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan tambahan itu
bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan
Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai tahun 2019,
bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta
membantu negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program dan
projek bagi meningkatkan hasil.
Dr Mahathir berkata, mesyuarat juga
bersetuju meluluskan pemberian 50 peratus hasil daripada kutipan cukai
pelancongan untuk menjadi satu pemberian baru kepada kerajaan negeri
mulai tahun ini.
Pemberian separuh hasil kutipan cukai itu
akan membantu kerajaan negeri menyenggara dan menyediakan kemudahan
pelancongan, serta mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan,
selain menambah baik pelaporan statistik pelancongan, katanya.
“Kita telah kenakan bayaran (cukai)
sebanyak RM10 satu bilik dan sebagainya. Kutipan ini sebenarnya adalah
untuk Kerajaan Pusat dan kita telah setuju untuk memberi 50 peratus
kepada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, katanya dalam
meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya kerajaan menambah
baik Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian (MARRIS) antaranya
dengan memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai
penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja
Raya dan tidak didaftarkan di dalam Sistem MARRIS online.
Penambahbaikan turut membabitkan
perbelanjaan menaiktaraf jalan, jambatan, parit, longkang dengan had
tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar
penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta, yang mana terendah,
katanya.
“Jadi kita boleh perbaiki jalan yang sudah ada tetapi tidak termasuk jalan kampung, ia dibiayai oleh saluran lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata, keputusan
mesyuarat hari ini secara langsung meningkatkan bantuan kepada kerajaan
negeri dengan mengambil kira defisit yang dialami kerajaan negeri
sekarang.
Dr Mahathir yang ditanya sama ada
langkah-langkah yang diambil akan memberi bebanan kewangan kepada
Kerajaan Pusat berkata : “Sedikit sebanyak kita kena bagi lebih banyak
daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri tetapi jumlahnya mampu
ditanggung oleh Kerajaan Pusat.” – Bernama
No comments:
Post a Comment