Wednesday, May 29, 2019

Jho Low akui kenal CEO terbabit skandal seks K-pop, tapi nafi terlibat

MALAYSIAKINI

   

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho menafikan laporan media Korea Selatan yang mendakwanya menerima perkhidmatan seks daripada seorang eksekutif industri hiburan di negara itu.

Penafian itu disampaikan jurucakapnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui pasukan peguamnya hari ini.

Jurucakap itu bagaimanapun mengakui Jho Low memang ada bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif YG Entertainment Yang Hyun-suk yang didakwa mengaturkan pekerja seks untuknya pada Julai 2014.

"Jho Low adalah kawan kepada PSY, dan melaluinya dia berkenalan dengan Yang Hyun-suk.

"Dia (Jho Low) tidak pernah terlibat, atau tahu, dengan sebarang perlakuan seperti yang didakwa dalam laporan MBC Straight," kata jurucakapnya.
Menurut The Korean Herald, perincian berkenaan perkara itu disiarkan dalam rancagan "Straight" di saluran Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) semalam.

Menurut laporan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif YG Entertainment Yang Hyun-suk menganjurkan makan malam untuk pelabur, termasuk Jho Low, yang turut disertai pekerja seks.

Terdapat 25 perempuan yang hadir, termasuk 10 pekerja seks, serta lapan lelaki pada malam itu.

YG Entertainment bagaimanapun menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
PSY - yang bernaung di bawah syarikat itu - pernah membuat persembahan di sebuah konsert percuma di Pulau Pinang menjelang PRU ke-13 pada 2013.

Konsert itu dipercayai menerima dana daripada Jho Low.


No comments: