GEORGETOWN
– Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap
sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, dekat
sini, semalam.
Dalam
kejadian jam 4 petang itu, sebuah kereta yang sedang melalui jalan itu
turut dihempap pokok sama, namun pemandunya seorang lelaki berusia 58
tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain
berkata, penunggang motosikal berusia 65 tahun itu bagaimanapun
meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Kemalangan
dipercayai berlaku ketika pemandu kereta serta penunggang motosikal
dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Bayan Baru dan
ketika melalui jalan berkenaan sebatang pokok tumbang dan menghempap dua
kenderaan itu,” katanya di sini.
Katanya,
ketika kejadian motosikal ditunggang warga emas berkenaan berada di
hadapan kereta yang turut dihempap pokok dan mangsa telah terjatuh
manakala motosikalnya tercampak ke hadapan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat. – Bernama
No comments:
Post a Comment