Mohd Kamaruzaman A Wahab, yang mewakili keluarga Adib berkata, kementerian ada jabatan undang-undang sendiri dan dalam soal menyertai suatu inkues melibatkan agensi bawahnya, ia tidak perlukan kebenaran peguam negara.
“Kalau kementerian menyaman atau disaman, memang kena rujuk peguam negara. Tetapi dalam kes ini, KPKT tidak menyaman atau disaman, ia cuma terlibat dengan inkues sebagai pihak berkepentingan,” katanya kepada FMT.
Kamaruzaman menambah peguam negara memainkan 2 peranan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai pendakwa raya awam yang menguruskan pendakwaan, dan mewakili kerajaan dalam prosiding oleh kerajaan atau terhadap kerajaan.
Kamaruzaman akui pelantikan peguam sendiri oleh KPKT dalam inkues itu mungkin “nampak macam ada pertembungan” dalam kerajaan, tetapi ia tidak patut dijadikan masalah kerana Syazlin Mansor dilantik untuk mempertahankan bomba.
Beliau mengulas laporan Edge Markets yang melaporkan Menteri Pertumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melantik peguam sendiri tanpa pengetahuan peguam negara.
Syazlin Mansor dilantik mewakili KPKT dan bomba, dan salah seorang daripada pasukan 5 peguam yang diketuai Kamaruzaman yang mewakili keluarga Adib dalam inkues itu.
Inkues diatur susulan kontroversi sekitar kematian Adib yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada November.
Di inkues itu, pakar forensik Hospital Kuala Lumpur berkata kecederaan yang dialami Adib tidak padan dengan kecederaan dipukul, tetapi seorang perunding kanan patologi di United Kingdom, saksi yang ditampilkan keluarga Adib, mengatakan anggota bomba itu mungkin ditarik dan dihentak beberapa individu.
Ditanya mengenai reaksi keluarga Adib, Kamaruzaman berkata waris terkejut dan hairan dengan penarikan diri saat-saat akhir itu.
“Sebab kes ini sudah nak habis, tiba-tiba berlaku macam ini,” katanya.
“Macam-macam kita dengar dari sumber yang tidak dapat disahkan. Ada yang kata terima tekanan. Saya tidak ada maklumat perkara itu,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi NGO yang mahu menunjuk perasaan susulan penarikan diri peguam kementerian, Kamaruzaman menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera membetulkan sebarang persepsi buruk.
“Kerajaan perlu dilihat adil,” katanya. “Sekarang ini orang nampak peguam negara seolah-olah campur tangan.”
No comments:
Post a Comment