Thursday, May 2, 2019
SAMPAI BILA TUN MAHATHIR SUKA BERGADUH?
Ketika bermusuh dengan Najib Razak, Tun Mahathir bukan saja menjadi pengkritiknya, malah mengalu-alukan sesiapa juga yang berani menegur Perdana Menteri.
Ketika itu, termasuk TMJ yang pernah melakukan kritikan terhadap Najib, bagi Tun Mahathir ia adalah hak pewaris takhta Johor itu untuk berbuat demikian dan ia sesuatu yang harus dialu-alukan.
Tetapi, setelah beliau sendiri duduk di kerusi Perdana Menteri, Tun Mahathir nyata tidak suka dikritik oleh TMJ.
Ketika TMJ memberi reaksi spontan terhadap kata-kata peminat bolasepak JDT yang mahu jurulatih pasukan itu, Benjamin Mora ditukar dengan mengatakan “daripada tukar, baik tukar Perdana Menteri”, Tun Mahathir kelihatan begitu sensitif dan tidak senang dengannya.
Kata Tun Mahathir, kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak boleh ditukar oleh TMJ, sebaliknya hanya rakyat yang boleh menukarnya.
Walaupun sebelum itu Tun Mahathir melalui Deklarasi Rakyat pernah berusaha agar Majlis Raja-Raja memecat Najib, yang nyata sikapnya kini memperlihatkan dia tidak suka dikritik – suatu keadaan yang berbeza ketika sebelum dan selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
Terbaru dengan TMJ, khususnya berkaitan Statut Rom dan Istana Johor dalam soal campurtangan dalam pentadbiran kerajaan serta beberapa isu sebelum ini, Raja-Raja adalah institusi yang dikira paling suka dicari gaduh oleh Tun Mahathir.
Semalam pula, ketika Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin meluahkan rasa kecewa dengan kedudukan Islam yang dilihatnya terancam di bawah kerajaan PH, Tun Mahathir menempelaknya sebagai pekak.
Walaupun Dr. Asri kemudian menjawab balik dengan mempersoalkan siapa yang pekak antara beliau dan Tun Mahathir, yang nyata Perdana Menteri tidak sedia untuk ditegur oleh sesiapa, termasuk oleh golongan agama.
Mengapakah cara Tun Mahathir memberi reaksinya begitu kasar dan seolah-olah ingin bergaduh?
Tidak bolehkah, sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab setiap kritikan dengan bahasa yang baik-baik sebagai lambang kesediaan menerima teguran?
Terbaru, dalam ucapannya di depan penjawat awan semalam, Tun Mahathir secara terbuka membidas golongan itu serta mengaitkan mereka dengan amalam rasuah yang berleluasa.
“Dulu kita tahu ada orang tertentu dapat perlindungan dari jentera dan pegawai kerajaan kerana rasuah, apabila kita berusaha menghentikannya, maka pegawai kerajaan tertentu ini tiada pendapatan tambahan dan mereka kecewa, (malah) mereka rasa kerajaan kleptokrasi (terdahulu) lebih baik daripada kerajaan demokrasi.
“Sebab itu sokongan pada kerajaan ini dan saya sendiri merosot, tetapi kita akan terus bersihkan negara dari rasuah, kerana rasuah akan hancurkan negara dan menyebabkan kos hidup meningkat kerana setiap yang kita belanja kena tambah kos rasuah,” katanya lagi.
Tidakkah ini menunjukkan Tun Mahathir seolah-olah ingin bergaduh dan bermusuh dengan penjawat awam pula?
Mengapa memalukan penjawat awam sampai begitu sekali?
Bagaimana dengan rasuah di kalangan pemimpin politik dan mereka yang dekat dengan puncak kuasa?
Rasuah mana yang lebih serius dan memudaratkan?
Mengapa hanya kakitangan awam saja dijadikan sasaran?
Apa kaitan rasuah di kalangan kakitangan awan dengan kemerosotan sokongan rakyat terhadap PH?
Sebelum ini dan sejak beberapa lama dulu juga, Tun Mahathir turut tidak henti-henti melabelkan orang Melayu sebagai malas.
Tetapi ketika meminta sokongan untuk mendapat kuasa, siapakah yang mula-mula dicarinya kalau bukan orang Melayu juga?
Dalam keadaan lain, di peringkat awal berkuasa baru-baru ini, Tun Mahathir turut mencipta pergaduhan dengan Singapura dan China dalam soal hubungan dengan kedua-dua negara tersebut.
Walaupun baru-baru ini Tun Mahathir sudah bersikap lunak terhadap China, tetapi tindakannya bergaduh secara terbuka dengan pemimpin negara itu dalam lawatan sebelum ini tentu masih diingati lagi.
Pendek kata, dengan Raja-Raja, mufti, kakitangan awam, orang Melayu, Singapura dan China – semua mahu dibuat gaduh oleh Tun Mahathir.
Sampai bila Tun Mahathir mahu terus bergaduh?
Selamatkah kita sebagai rakyat apabila memiliki seorang Perdana Menteri yang kaki gaduh dan apakah beliau boleh dianggap betul dan benar melalui sikapnya yang suka bergaduh dengan semua orang itu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment