Thursday, May 2, 2019

Himpunan 405: Pemuda UMNO kerah 2,000 ahli simbolik keresahan rakyat

Nizam Zain
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pergerakan UMNO di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM
 

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akan menggerakkan sekurang-kurangnya 2,000 ahlinya bagi menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang akan diadakan di ibu negara, Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya komited untuk menggerakkan ahli-ahlinya sebagai simbolik kepada keresahan masyarakat terhadap kepincangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengusik Perlembagaan.

“Kami Pergerakan Pemuda UMNO menyokong penuh himpunan yang akan dianjurkan oleh NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) pada Sabtu ini bermula dari Masjid Jamek hingga Sogo.

“Insya-Allah Pemuda UMNO kita komited sekurang-kurangnya 2,000 ahli yang akan kita kerahkan, itu tak campur NGO dan Pas.

“Ini sebagai tanda protes kita untuk menzahirkan segala keresahan yang ada pada rakyat hari ini.

“Kami sendiri akan bersama-sama dengan gerakan massa ini untuk menyatakan pendirian kita secara jelas dan kuat bahawa jangan dicabar isu-isu dengan kesucian agama Islam dan asas-asas yang telah kita bina dalam Perlembagan negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO, di sini, hari ini.

Isnin lalu, NGO Ummah mengumumkan akan menganjurkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405), di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Perhimpunan aman itu antara lain akan membangkitkan beberapa isu utama meliputi ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), isu ancaman kedaulatan Islam, keadilan untuk arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC dan isu PPSMI.

Asyraf Wajdi juga berkata, pihaknya akan menjayakan perhimpunan aman itu susulan kegagalan Kerajaan PH membuktikan Malaysia sudah menarik diri secara rasmi daripada ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Isu-isu yang bersangkutan dengan Statut Rom yang nampaknya Kerajaan PH hari ini semacam bermain wayang ataupun bersandiwara.

“Kabinet telahpun menyatakan keputusannya untuk menarik balik ratifikasi Statut Rom, tetapi Peguam Negara boleh terlibat secara langsung dalam panel forum yang meremehkan keputusan kerajaan tersebut.

“Bahkan Peguam Negara turut hadir dalam forum di Universiti Malaya bersama dengan panel-panel yang secara jelas menghina Raja-Raja Melayu dengan mengatakan tuanku merompak, tidak memahami apa yang dihasratkan dalam Statut Rom,” katanya.

Dakwanya, perlakuan Tommy Thomas yang berdiam diri ketika Majlis Raja-Raja Melayu dihina di dalam forum sama dilihat sebagai serius dan seolah-olah menghalalkan perbuatan tersebut.

“Pada masa sama, forum-forum ini masih diadakan dan Peguam Negara sendiri hadir seolah-olah beliau sendiri setuju satu gerakan membantah dan membelakangkan apa yang diputuskan oleh Kabinet.

No comments: