Thursday, May 2, 2019

Mufti Perlis lapor polis ancaman dipukul, ugutan berbahaya

ISMA WEB

'Sandev Sandev' berusia 36 tahun dipercayai tinggal di Pulau Pinang


KANGAR– Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya di laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, Mohd Asri membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kira-kira jam 6.30 petang semalam kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

“Mohd Asri menerima satu mesej daripada pemilik akuan Facebook bernama ‘Sandev Sandev’ kira-kira jam 6 petang semalam yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah.

“Pemilik Facebook itu turut memberikan nombor telefon dan meminta Mohd Asri menghubunginya,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu.

Noor Mushar berkata, polis telah mengambil keterangan Mohd Asri berhubung perkara itu dan sedang mengesan suspek berumur 36 tahun yang dipercayai menetap di Pulau Pinang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama


No comments: